Perwakilan: Elak sabotaj, contohi Abu Dzar Al-Ghifari

Seorang perwakilan hari ini menggesa para ahli dan jentera parti supaya mengelak daripada melakukan sabotaj ke atas parti dan meneladani tindakan seorang sahabat Nabi – Abu Dzar Al-Ghifari.

Wakil Umno Pahang, Datuk Mohamad Sahfri Abd Aziz berkata dalam kisah berkenaan, Khalifah pada masa itu, Uthman Affan mendengar satu "berita tidak baik" mengenai Abu Dzar dan kemudian bertemu gabenor berkenaan untuk menyelesaikan isu berkenaan.

"Abu Dzar tidak mahu memanjangkan isu ini, dia pun melepaskan jawatan daripada jawatan gabenor dan memencilkan diri.

"Kemudian, sekumpulan lelaki memujuk Abu Dzar supaya beliau berhimpun di Syam, keluar beramai-ramai untuk merempuh Madinah untuk menunjukkan beliau sebagai gabenor tidak boleh diperkotak-katikkan, supaya jasa dikenang.

"Kemudian Abu Dzar berkata (kepada kumpulan lelaki), 'kalau Saidina Uthman kata, aku akan dengar, taat dan patuh dengan arahan. Aku lihat itulah yang terbaik'," kata Mohamad Sahfri.

Ketua Pemuda Umno Rompin itu menceritakan kisah berkenaan untuk menegaskan mengenai kerja keras yang perlu dijalankan bagi menjamin kemenangan Umno dan BN pada pilihan raya umum akan datang.

"Dan merampas kembali kerusi yang kita kalah... Umno tidak boleh lagi ada berpuak-puak... Komponen BN bergantung kepada kita," kata Mohamad Sahfri.

Dalam ucapannya, beliau bersama-sama perwakilan lain menyahut cabaran Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memastikan pakatan pembangkang daripada berkuasa dan didakwa mahu merosakkan negara.

"Di saat ini kita di pinggir jalan... Kita mesti kena menang dengan majoriti hebat, dan merampas negeri yang kita kalah termasuk kawasan DUN (yang tewas)," tegasnya.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.