Lagu rintih nasib Melayu buat perwakilan sebak

Para perwakilan dan pimpinan di Perhimpunan Agung Umno ke-66 hari ini bangun berdiri dalam keadaan terharu dan ada di antara mereka yang menangis dek tersentuh dengan seorang perwakilan kelab Umno luar negara yang menyanyikan lagi 'Anak Kecil Main Api'.

Ia merupakan sebuah lagu mengenai keluhan nasib bangsa Melayu yang tersisih di bumi sendiri.

Lirik lagu yang dinyanyikan oleh wakil Kelab Umno Tokyo Ariff Yasir Zulkifli antara lainnya menyebut: "Air mata darah bercampur keringat. Bumi dipijak milik orang,"

"Nenek moyang kaya-raya, tergadai segala harta benda, akibat sengketa sesama kita, pribumi merintih sendiri".

Turut menyanyikan lagu itu ialah Pengerusi Tetap Tan Sri Amiruldin Bahruldin dan juga para perwakilan.

Ariff Yassir kemudiannya melaungkan slogan "Hidup Melayu!" beberapa kali yang turut diikuti para perwakilan.

Lagu berkenaan diajar kepada individu yang mengikuti kursus di agensi kerajaan dan juga kepada siswa yang melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Lirik itu menceritakan mengenai pergaduhan di kalangan orang Melayu yang menyebabkan golongan itu hanya memiliki kuasa politik akibat tetapi kehilangan semua kekayaan.

Lagu itu menggesa kaum Melayu untuk menggunakan kuasa politik bagi membebaskan mereka serta  meraih semula kekayaan dan tanah air.

Lirik lagu tersebut ditulis oleh seorang bekas pemimpin Biro Tata Negara (BTN).

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.