Ahli veteran Umno Taiping meninggal dunia dekat PWTC

Seorang anggota veteran yang menyertai rombongan Umno bahagian Taiping, Perak ke Perhimpunan Agung Umno 2012, meninggal dunia selepas rebah di hentian bas berhadapan sebuah hotel berhampiran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
    
Ahmad Hariri Alang Othman, 62, dari Kampung Pinang, Kamunting, rebah di tempat kejadian pada jam 5.40 petang ketika rombongan yang disertainya sedang bersiap untuk pulang ke Taiping.
    
Azis Taib, 44, yang menyaksikan kejadian itu, berkata beliau melihat Allahyarham dalam keadaan terhuyung-hayang sebelum rebah.
    
"Saya menghampirinya dan melihat darah keluar dari kepala. Kemudian saya mengangkat tangan kiri Allahyarham tetapi beliau tidak menunjukkan sebarang reaksi.
    
"Selepas itu beberapa orang menghampiri Ahmad Hariri dan saya terus lari meminta bantuan... seorang pengawal keselamatan kemudian menghubungi ambulans," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
    
Sementara itu ketua rombongan Mazlan Abd Majid, 55, berkata semasa kejadian, beliau dan rombongan sedang berkumpul untuk pulang ke Taiping tetapi mendapati seorang daripada peserta rombongan belum sampai.
    
"Pada awalnya kami berjanji untuk berkumpul di hadapan PWTC antara jam 5.30 dan 6 petang. Kami dapati seorang peserta tidak ada, jadi saya mengambil keputusan untuk mencari dan tidak lama selepas itu saya dimaklumkan ada orang meninggal dunia dan mendapati orang itu ialah Ahmad Hariri," katanya.
    
Beliau berkata Allahyarham Ahmad Hariri menghadiri perhimpunan itu kerana menggantikan anggota lain yang tidak dapat hadir.
    
Ketua Umno bahagian Taiping, Datuk Shalimin Shaffie pula berkata Ahmad Hariri merupakan anggota veteran bahagian Taiping dan datang ke PWTC untuk mengikuti perhimpunan agung Umno.
    
"Kerana Ahmad Hariri meninggal di tempat awam, polis membawa jenazahnya ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat dan saya akan mengurus proses menuntut jenazah," katanya.
    
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu pada 5.45 petang.
    
Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang turut berada di tempat kejadian mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berkata Umno akan menanggung segala kos pengurusan jenazah.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.