Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes Shamsubahrin: Saksi tak tahu dirujuk sebagai DPP

Seorang bekas pegawai kanan polis memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa beliau tidak pernah tahu dirinya dirujuk sebagai Timbalan Pendakwa Raya (DPP) berhubung urusan masalah dalaman

syarikat National Feedlot Corporation (NFC).

    

Datuk Ahmad Damanhuri Mohd Yusoff, 63, berkata perkara berkenaan (dirujuk sebagai DPP) hanya diketahuinya hari ini dalam prosiding perbicaraan kes ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail yang menghadapi 17 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, membabitkan sejumlah RM1.755 juta.

    

Ahmad Damanhuri berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa  melalui satu Pesanan Khidmat Ringkas (SMS) yang dihantar oleh Shamsubahrin kepada bekas Pengarah NFC, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail serta bekas Pengurus Kewangan NFC, Hashimah Ahmad.

    

Ahmad Damanhuri yang merupakan saksi ke-18 pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa beliau bukan seorang Timbalan Pendakwa Raya sepertimana yang didakwa Shamsubahrin, sebaliknya pernah berurusan dengan DPP.

"Menerusi pertemuan dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Datuk Salleh, saya berterus terang dengan beliau (Salleh) bahawa saya berinteraksi dan bekerjasama rapat dengan DPP, tetapi saya bukan DPP," katanya.

Ahmad Damanhuri yang pernah bertugas sebagai Ketua Bahagian Peperiksaan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) berkata dalam mesyuarat bersama bekas Pengarah NFC itu, beliau turut memaklumkan Salleh bahawa beliau adalah bekas pegawai kanan polis.

    

"Saya memberitahu pengalaman saya semasa dalam pasukan polis termasuk mengendalikan kes Al-Ma’unah," katanya.

Terdahulu saksi ke-17 pendakwaan, Hashimah memberitahu bahawa beliau tidak menyimpan perasan iri hati terhadap Shamsubahrin, sebaliknya terdapat sedikit rasa tidak puas hati terhadap ahli perniagaan itu berhubung perkhidmatan yang diberikannya kepada NFC.

    

"Bayaran kepadanya (Shamsubahrin) telah dibuat, tetapi hasil kerja tak nampak pun, bila dia hantar SMS meminta dokumen...saya serahkan dokumen tetapi hasil kerja tetap tidak ada, itu yang buat saya tak puas hati, kita dah bayar, setiap pembayaran mesti ada kerja, ini tidak, kerja masih terbengkalai," katanya.

    

Menurut Hashimah, wang pembayaran RM1.755 juta telah diberikan kepada Shamsubahrin untuk menjalankan tugasnya, namun tiada sebarang hasil kerja dilaksanakan oleh Shamsubahrin.

    

Shamsubahrin juga berdepan lima pertuduhan menipu Mohamad Salleh membabitkan jumlah sama mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.  

Perbicaraan di depan Hakim Rozilah Salleh bersambung 14 Januari.

    

- Bernama

ADS