Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perwakilan Rantau Panjang Mohd Affandi Yusoff menegaskan parti itu "tidak takut" apa yang didoakan oleh PAS termasuk mendoakan bala terhadap pemimpin dan parti itu.

Beliau berkata tindakan PAS mendoakan Umno diturunkan bala oleh Allah, dibutakan mata, pecah perut kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan didakwa setaraf antaranya Firaun dan Abu Lahab, dianggap perbuatan "betapa jahat sesama Islam"

Sambil membaca sepotong ayat Al-Quran dari surah Al-Ra'd ayat 14, beliau yakin doa PAS itu tidak dimakbulkan Allah kerana bercanggah kaedah yang ditentukan oleh Allah dalam kitab suci itu.

"Kita tak takut PAS. Doa apa pun, kita tak takut... Kita bukan seperti puak-puak dalam parti itu. Kita doakan (mereka) diberikan hidayah dan kembali kepada doa sebenar.

"Dakwah PAS dan Umno berbeza, kita mengikut Sunnah Rasulullah... Ini cara yang dipilih Umno, pendekatan hikmah dan bijaksana seperti dilakukan oleh Rasulullah SAW," katanya sambil membaca kisah teladan Rasulullah SAW yang mendoakan kebaikan kepada penduduk Taif sewaktu peristiwa hijrah baginda ke Madinah.

Beliau berkata demikian sewaktu mencadangkan usul agama dan pendidikan di Perhimpunan Agung Umno di ibu negara pagi ini.

Dalam ucapannya, Mohd Affandi turut menempelak PAS yang mendoakan kehancuran Umno dengan membangkitkan kisah burung Ababil yang menghancurkan tentera bergajah Abrahah dalam sirah Nabi.

"Kita bertanya kepada PAS, adakah tentera bergajah adalah Umno? Tidak. Siapa tentera Abrahah itu adalah DAP, sebab siapa yang kata langkah mayat dahulu kerana menentang hudud.

"Tentera bergajah tidak ada dalam Umno, ada dalam PAS. Apabila 'Ababil' lontar kepada DAP, tidak akan terkecuali akan PAS juga yang terkena sekali," katanya.

Mohd Affandi juga membidas PAS kerana menyokong pemimpin NGO - yang tidak dinamakannya - yang didakwanya menyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Sedangkan, ulama tersohor Prof Yusuf Al-Qaradhawi menegaskan haram menyokong orang yang bersetuju dengan kumpulan LGBT, katanya.

Mohd Affandi turut menyatakan kebimbangan mengenai nasib keluarga dan generasi selepas ini apabila timbul dakwaan bahawa orang Melayu bebas memilih agama.

Dalam ucapannya juga beliau mahu, ulama dalam Umno diberi lebih banyak ruang di media massa, untuk menjelaskan isu yang dihadapi mereka.

ADS