Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seorang perwakilan di Perhimpunan Agung Umno ke-66 hari ini menayangkan video yang menunjukkan bacaan doa anjuran PAS bagi kehancuran Umno dan BN.

Wakil Arau Fathul Bari Mat Jahaya dalam ucapannya mendakwa, video itu menunjukkan bahawa kaedah berdoa itu salah.

Selain itu, penjelasan mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung doa berkenaan pula membawa maksud Umno parti murtad, katanya dengan penuh bersemangat.

Pengerusi jawatankuasa kerja sekretariat Ulama Muda Umno itu menjelaskan, walaupun ia tidak disebut secara langsung, namun natijah daripada kenyataan Nik Aziz membawa maksud demikian.

Fathul Bari menjelaskan, beliau memahami demikian apabila melihat kenyataan berkenaan mengikut kaedah "ilmu kalam".

"Kita perlu berhati-hati. Walaupun tidak disebut secara langsung Umno itu murtad. Ini ilmu kalam atau mantik. Bahasanya dia ada mukadimah dan natijah.

"Pertama dia kata Umno menolak Islam kemudian (mengatakan) memperlekehkan Islam. Tapi tak bagi natijah. Natijah dari perkataan itu sangat jelas iaitu Umno murtad. Hukuman ini sangat berat.

"Takkan semua ahli Umno murtad dan memperlekehkan Islam?," soalnya lagi.

Fathul berkata ia berbeza dengan tindakan pemimpin Umno yang mendoakan agar PAS diberi hidayah.

"Kaedah dalam doa tak betul... Tapi pemimpin kita mendoakan agar mereka mendoakan mereka diberi hidayah, kebaikkan kepada mereka," katanya.

Sambil menyebutkan beberapa contoh hadis, Fathul turut mempersoalkan sama ada golongan yang berdoa demi kehancuran Umno itu merupakan seorang yang tidak melakukan sebarang kesalahan.

"Kita mungkin ada kelemahan yang perlu diperbetulkan, yang tak bebas dari kelemahan.

"Adakah mereka tak pernah lakukan kesilapan dan kesalahan? Makhluk apakah mereka? Alien (makhluk angkasa lepas)?

"Adakah mereka yang mendoakan kita ini malaikat? Nabi? Para rasul?," kata Fathul yang disahut dengan laungan "Tidak" oleh para perwakilan di Dewan Merdeka, PWTC.

Video yang ditayangkan melalui skrin besar di dewan berkenaan hari ini adalah rakaman acara solat hajat anjuran PAS di Stadium Muhammad IV dan doa yang dipimpin adik Nik Aziz, Nik Razi Nik Mat pada 16 November lalu.

Parti berkenaan mengadakan majlis tersebut sempena Muktamar PAS ke-58 di Kota Bharu.

Turut ditayangkan Fathul Bari hari ini ialah rakaman sidang media Nik Aziz pada 18 November lalu yang mempertahan doa berkenaan.

Dalam penjelasan itu, Nik Aziz dilaporkan berkata sesiapa sahaja orang Islam yang memperlekeh agama Islam dengan sengaja maka ia boleh jatuh kepada murtad iaitu terkeluar dari Islam.,

Nik Aziz berkata, tindakan memperlekeh Islam boleh berlaku dengan banyak cara termasuk menolak Islam sebagai dasar perjuangan kerana menganggap Islam itu sudah lapuk dan tidak sesuai lagi zaman ini.

"Tak kira siapa pun kalau tok guru berserban berjanggut sekalipun kalau tolak islam dengan hati yang sengaja, dia kata Islam tak guna, dia murtad sekalipun tak ada mufti bagitau dia.

"Umno tolak Islam maka nampak dia telah memperlekeh Islam. Dia buang Islam macam buang ubat habis tempoh. Boleh jadi yang tolak Islam tu murtad dah, boleh jadi dia jahil, boleh jadi dia tak faham," katanya seperti dipetik Harakahdaily pada 18 November lalu.

ADS