Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno Wilayah yakin kuasai semula 6 kerusi pembangkang

Umno dan Barisan Nasional Wilayah Persekutuan yakin dapat menguasai semula enam kerusi yang terlepas ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum lepas.

    

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata pihaknya juga yakin selain mempertahankan kerusi pada pilihan raya umum ke-13, BN akan mampu menambah bilangan kerusi berdasarkan

trend sokongan pengundi bandar terhadap BN sejak akhir-akhir ini.

    

Dalam pilihan raya lepas, BN hanya mempertahankan tiga kerusi iaitu Parlimen Setiawangsa, Putrajaya dan Labuan namun kalah bagi kerusi Parlimen Lembah Pantai, Batu, Titiwangsa, Bandar Tun Razak, Segambut dan Wangsa Maju.

    

Empat lagi kerusi Parlimen iaitu Kepong, Seputeh, Cheras dan Bukit Bintang kekal di tangan pembangkang.

    

Raja Nong Chik berkata wakil rakyat pakatan pembangkang di Wilayah Persekutuan tidak banyak menunjukkan hasil kecuali menimbulkan isu yang bertujuan membangkitkan kemarahan rakyat terhadap Umno dan kerajaan.

    

"Tapi kita lihat produk hasil usaha kerajaan di Kuala Lumpur seperti pelaksanaan Greater Kuala Lumpur (Greater KL), Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), penjualan dan penyelenggaraan rumah di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menunjukkan kerajaan mengambil berat kebajikan penduduk di sini," katanya kepada Bernama di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

    

Raja Nong Chik berkata jentera pilihan raya di Wilayah Persekutuan juga sedang giat menarik pengundi muda menerusi pelbagai program.

    

"Pengundi muda ini penting pasal peratusan pengundi baru di Wilayah Persekutuan mencecah hampir 25 peratus dan ini bermakna pengundi baru sedikit sebanyak juga jadi penentu kemenangan kita pada PRU-13," katanya.

    

Sehubungan itu, Raja Nong Chik yang juga Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai meminta semua anggota Umno dan parti komponen BN supaya bersatu hati dan mengelak sebarang unsur mensabotaj parti.

    

"Pada PRU lepas satu elemen kekalahan adalah unsur sabotaj secara terang dan tidak terang. Yang penting bila pada PRU-13 nanti kita bersatu hati, lupakan segala perbezaan pendapat dan tumpukan kepada usaha kemenangan kita dalam PRU-13 nanti," katanya.

- Bernama

ADS