Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wanita mampu jadi calon, bukan hanya di belakang tabir

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata wanita kini mempunyai kredibiliti untuk menjadi calon yang mampu memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

    

Beliau berkata sebagai 'sang saka pertiwi serikandi bangsa pembela perjuangan negara', wanita mempunyai semangat yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit dan mampu menghadapi sebarang cabaran walau dalam apa keadaan sekalipun.

    

"Jangan lupa wanita juga mampu berpolitik, bukan hanya sebagai jentera di belakang tabir semata-mata...," katanya ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung Umno 2012 hari ini.

    

Shahrizat berkata Wanita Umno akan bersama-sama sayap Pemuda, Puteri dan saf kepimpinan Umno dalam lebuh raya pancaroba politik untuk memastikan kemenangan mutlak kepada BN pada pilihan raya umum ke-13.

    

Beliau berkata pengiktirafan Najib terhadap perjuangan Wanita mampu dijadikan tangkal azimat kepada semua pemimpin Wanita untuk berjuang menjadi benteng mempertahankan negara.

    

"Pengiktirafan itu meletakkan Wanita sama-sama berdiri dengan sayap Pemuda dan Puteri gagah menongkah cabaran dan tetap lasak mengharungi halangan," katanya.

Shahrizat berkata Wanita juga memainkan peranan sebagai penyumbang mutlak kepada perjuangan parti dan menjadi penentu kemenangan dalam setiap pilihan raya kerana mereka adalah kategori pengundi terbesar di negara ini.

    

"Sehingga Jun 2012 kira-kira 6.51 juta pengundi wanita dicatat daripada 13.6 juta pengundi seluruh negara. Jumlah ini membuktikan wanita boleh menjadi penentu kemenangan Umno dan BN pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

    

- Bernama

ADS