Sultan S'gor minta jangan manipulasi peranan baginda

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah meminta agar peranan baginda sebagai ketua agama Islam di Selangor tidak dimanipulasi oleh pihak tertentu yang hanya mahu meraih publisiti.

Sultan Sharafuddin bertitah, sebagai ketua agama baginda perlu memastikan agama Islam terus dihormati dan ditempatkan pada martabat yang tinggi dalam segala hal ehwal negeri.
    
"Semasa pertabalan beta sebagai Sultan Selangor, beta telah berikrar untuk memelihara dan menjaga nama baik agama Islam yang suci ini. Beta secara ikhlasnya ingin melihat institusi masjid menjadi penyumbang kepada kemajuan dan pembangunan di negeri Selangor ini.
    
"Beta bertanggungjawab memastikan kehidupan umat Islam khususnya orang-orang Melayu terbela," titah baginda di Seminar Pengurusan Masjid di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam hari ini.
    
Sultan Sharafuddin mengingatkan agar keprihatinan baginda terhadap institusi masjid tidak disalah-ertikan.
    
Baginda bertitah masjid perlu digunakan sepenuhnya oleh rakyat Selangor untuk mengeratkan lagi semangat muhibah antara orang Melayu menerusi aktiviti berfaedah yang diadakan di masjid-masjid seluruh negeri.

"Walaupun di Selangor ini terdapat masyarakat Islam pelbagai keturunan, ideologi dan pendapat yang berbeza-beza, namun hakikatnya yang menyatukan kita adalah agama Islam, maka jadikanlah masjid tempat yang paling sesuai untuk menyatu-padukan orang Melayu dan menjana pemikiran bernas bagi memajukan lagi negeri Selangor yang kita kasihi ini," tatiah baginda.
    
Sultan Sharafuddin menyeru pegawai dan anggota Jawatankuasa Masjid di seluruh Selangor memain peranan penting dalam menjaga imej dan nama baik institusi masjid.
    
Titah baginda, anggota jawatankuasa masjid seharusnya menjadi kumpulan terdahulu yang menghalang perkara-perkara negatif berlaku dalam masjid seperti kegiatan berpolitik, penyebaran ajaran sesat, pepecahan antara jemaah serta aktiviti kuliah oleh penceramah yang tidak mempunyai tauliah.

"Beta bimbang sekiranya perkara ini berlaku ia boleh membawa kepada kebencian dan akhirnya pepecahan dalam kalangan umat Islam," titah baginda.

Sultan Sharafuddin mengingatkan supaya anggota jawatankuasa masjid tidak menyalahguna kuasa dan jawatan mereka untuk kepentingan peribadi.
    
Baginda bertitah bahawa baginda sering menerima aduan daripada jemaah masjid mengenai tingkah laku anggota jawatankuasa masjid yang tidak beretika.
    
"Beta mengingatkan mereka yang dipertangungjawabkan untuk mentadbir masjid bahawa gerak-geri mereka diperhatikan dan beta menitahkan supaya pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan sekiranya kelakuan anggota jawatankuasa
masjid menyalahi undang-undang dan merosakkan institusi masjid," titah baginda.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.