'Kebimbangan melampu hakis keyakinan rakyat pada BN'

Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) Datuk Seri M Kayveas berkata keresahan dan kebimbangan melampau di kalangan rakyat menyebabkan keyakinan mereka terhadap BN semakin tergelincir dan terhakis khususnya pada pilihan raya umum 2008.

Tegasnya, kegusaran itu pula berpaksi kepada dua elemen asas yang menjadi denyut nadi rakyat iaitu "isu diskriminasi dan isu prejudis yang semakin menebal di hati mereka".

"Pakatan pembangkang telah berkempen dengan begitu agresif pada pilihan raya yang lepas bermodalkan kedua-dua isu ini dan mengambil peluang membakar jiwa rakyat bahawa diskriminasi masih berlaku di negara ini dalam semua aspek kehidupan kita.

"Dan kini walaupun transformasi demi transformasi dilakukan oleh perdana menteri kita, Gagasan 1Malaysia telah diperkenalkan, segelintir kumpulan memberi sokongan mereka kepada Pakatan pembangkang secara membuta tuli.

"Kenapa? Hal ini adalah kerana mereka masih berpandangan diskriminasi dan prejudis terus wujud dalam pemerintahan Barisan Nasional selama ini," katanya.

Ketika menyampaikan ucapan dasarnya dalam Perhimpunan Agung PPP di ibu negara pagi ini,  Kayveas berkata prejudis itu sebenarnya tidak mengenal sempadan kaum, agama dan keturunan.

Beliau berkata orang Melayu yang menyokong pakatan pembangkang mengatakan bahawa orang Melayu dalam Umno tidak mengagihkan kekayaan negara secara sama rata dan sama rasa, rasuah, salah guna kuasa, lain di bibir dan lain di hati.

Manakala, katanya,  orang Cina yang menyokong pembangkang pula menyatakan bahawa mereka semakin tersisih di negara, tidak diberi peluang perniagaan, pendidikan yang sama rata dan saksama.

"Orang India pula berasakan Barisan Nasional telah meminggirkan mereka hampir 50 tahun dalam semua aspek khususnya dalam sektor ekonomi dan pendidikan sehingga mereka menjadi miskin di negara sendiri," katanya.

Sehubungan itu, formula kejayaan BN adalah memenangi hati rakyat dengan menghapuskan kedua-dua perasaan tersebut - prejudis dan diskriminasi - di kalangan rakyat.

"... Untuk menang dalam pilihan raya kita perlu memenangi hati dan keyakinan rakyat bahawa BN mampu mengatasi diskriminasi dan prejudis yang menjurus kepada ketidakadilan sosial, ekonomi, dan politik.

"Kesaksamaan dan kesamarataan yang sentiasa didambakan oleh rakyat tanpa mengira keturunan dan warna kulit perlu dijadikan agenda nombor satu sehingga mereka berasakan hak mereka sebagai rakyat Malaysia adalah sentiasa di padang yang sama rata.

Sekiranya BN sanggup melakukan perubahan tersebut "secara serius, jujur dan ikhlas", Kayveas berkata beliau percaya ia merupakan "formula kemenangan" dalam pilihan raya akan datang dan sudah pasti pembangkang  "sudah tidak ada modal untuk dijaja".

"Pakatan pembangkang sebenarnya tidak boleh menandingi kekuatan Barisan Nasional kerana mereka sangat lemah dan tidak ada visi, tidak ada kesepakatan, tidak ada toleransi dan yang paling penting mereka berjalan di atas titi yang rapuh... Ikatan yang cukup lemah ini dijalin hanya semata-mata untuk merampas Putrajaya," katanya.

Kayves juga menjelaskan rakyat kini telah bosan dan muak dengan politik yang menjurus kepada fitnah peribadi sekaligus sedar dengan "pendustaan dan kepincangan" pembangkang yang didakwanya suka menabur janji nista dan dusta.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.