Kempen Desa Selamat dilancar di 3 daerah S'gor

Kempen Desa Selamat, yang dilancar di tiga daerah di Selangor iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam serta Hulu Selangor, bertujuan mempertingkat tahap kerjasama masyarakat luar bandar dan polis dalam mencegah jenayah.
    
"Kempen ini mengandungi aktiviti dirancang dengan kerjasama polis dan orang ramai bagi menyelesaikan masalah setempat berkaitan jenayah, khususnya untuk mewujudkan persekitaran selamat di luar bandar," kata Naib Pengerusi Yayasan
Pencegahan Jenayah Malaysia Datuk Kamarudin Ali.
    
Bercakap pada sidang akhbar selepas perasmian Kempen Desa Selamat Zon Utara Selangor oleh Ketua Polis Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, Kamarudin berkata inisiatif 'Kepolisan Komuniti' akan dapat membantu merealisasi objektif kempen
itu di tiga daerah berkenaan.
    
Beliau berkata di daerah Kuala Selangor sahaja terdapat 54 cawangan Kepolisan Komuniti, yang mengambil kira penglibatan masyarakat dan polis dalam pencegahan jenayah.
    
Sementara itu, Tun Hisan berkata polis mengiktiraf warga luar bandar yang memberi sumbangan idea untuk menangani jenayah menerusi kempen tersebut.
    
"Menerusi kempen ini, pakar motivasi jenayah akan dipanggil memberi penerangan berkaitan pencegahan jenayah kepada penduduk supaya lebih berhati-hati dengan aktiviti perlakuan jenayah," katanya.
    
Terdahulu, beliau menyampaikan sijil penghargaan kepada enam individu sekitar Kuala Selangor sebagai mengiktiraf idea mereka dalam membantu polis membanteras jenayah.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.