SPR: Petugas media boleh mengundi melalui pos

Semua petugas media yang diperakukan oleh majikan sebagai petugas yang dikehendaki bertugas di luar kawasan pendaftarannya pada hari mengundi untuk membuat liputan pilihan raya dan perkara-perkara berkaitan dengannya, layak untuk mendapat kemudahan mengundi secara pos dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) akan datang.
   
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata kemudahan mengundi secara pos adalah berdasarkan permohonan yang diterima daripada mereka kepada pegawai pengurusan bahagian pilihan raya di mana mereka didaftarkan.
   
Wartawan dan jurufoto ialah antara 112 kategori petugas yang disenaraikan layak mendapat kemudahan itu. Kategori lain antaranya pereka grafik, jurutera siaran luar, pengurus teknikal, juruteknik, juruelektrik, penerbit, pembantu skrip, pemandu dan pekerja am.
   
Kamaruddin berkata demikian pada sesi penerangan kepada media berhubung kemudahan itu di ibupejabat SPR di Putrajaya hari ini.
   
Beliau bagaimanapun berkata tidak semua petugas media diberikan kemudahan tersebut, misalnya wartawan yang membuat liputan lain selain berkaitan pilihan raya di luar kawasan pendaftarannya tidak layak mendapat kemudahan itu.

"Hanya media yang memenuhi syarat-syarat tertentu layak diberikan kemudahan mengundi secara pos," katanya yang menambah, mereka juga mestilah berkhidmat dengan agensi-agensi yang berdaftar dalam Direktori Media Awam 2012 yang dikeluarkan Jabatan Penerangan Malaysia.
   
Kamaruddin berkata petugas media yang ingin memohon untuk mengundi secara pos hendaklah menggunakan Borang 1A yang akan diserahkan kepada agensi media atau dengan memuat turunnya dari lamanweb SPR.

Katanya tarikh akhir untuk menghantar Borang 1A tersebut ialah pada hari ketiga selepas hari penamaan Calon.

Kata beliau Borang 1A yang telah lengkap diisi boleh dihantar kepada Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya yang berkenaan melalui faks, pos atau menyerahkannya sendiri.
   
Beliau berkata pegawai pengurus boleh menolak sesuatu permohonan sekiranya Borang 1A tidak lengkap, bukan pemilih berdaftar dalam bahagian pilihan raya yang berkenaan dan Borang 1A diterima lewat daripada hari ketiga selepas Hari Penamaan Calon.

Beliau berkata para petugas media yang mengundi secara pos akan menerima sampul keutamaan yang di dalamnya antara lain mengandungi kertas undi untuk calon kerusi Parlimen dan kerusi Dewan Undangan Negeri masing-masing.

Sampul-sampul keutamaan itu akan dihantar kepada pengundi melalui surat berdaftar dengan kerjasama Pos Malaysia Berhad dan juga boleh dikembalikan melalui pos tanpa setem.
   
Kamaruddin turut menolak kemungkinan berlaku kelambatan kertas undi diterima kerana pihak Pos Malaysia telah memberi jaminan akan memberikan keutamaan kepada sebarang surat yang mempunyai logo SPR dalam masa pilihan raya.
   
Ditanya jumlah petugas media yang dijangka akan menggunakan kemudahan itu, Kamaruddin berkata beliau menjangka jumlahnya kurang daripada 10,000 orang.

Kemudahan itu diberikan selepas SPR bersetuju dengan syor Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang diluluskan tanpa dibahaskan di Dewan Rakyat April lepas.

- Bernama
 

 

 

 

 

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.