Pemandu maut, penumpang cedera bas rempuh treler

Seorang pemandu bas terbunuh manakala 10 penumpang cedera apabila bas yang mereka naiki dipercayai merempuh belakang treler di Km 304.6 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke utara berhampiran Gopeng tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kampar, Supt Ng Kong Soon berkata pemandu itu Abdul Rahim Musa, 57, dari Rumah Pangsa, Jalan Hospital, Ipoh terbunuh di tempat kejadian dalam kemalangan 12.40 malam itu.

Mayatnya dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat manakala 10  mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, katanya.

Bas tersebut yang membawa 13 penumpang sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju Ipoh dilaporkan merempuh belakang treler di hadapanya ketika  mendaki bukit.

"Akibat kejadian itu, hadapan bas tersebut remuk teruk dan pemandunya tersepit dan mayatnya terpaksa dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat," kata Ng.

Tiga lagi penumpang bas tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.