Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-66 pada Ahad bersedia untuk menggerakkan delegasi dan pemimpin akar umbi sebagai kempen terakhir untuk memenangi hati dan minda masyarakat India kepada BN.

Setiausaha agung parti Datuk S Murugesan optimistik hasil kerja serius dan usaha berterusan yang dijalankan selama dua tahun di bawah pelan tindakan bersepadu akan membuahkan hasil kepada MIC.

Memenangi semula sokongan majoriti pengundi India menjadi tugas utama parti itu berikutan kekalahan besar dalam pilihan raya umum 2008 apabila ramai kaum India keluar BN.

MIC hilang enam daripada sembilan kerusi parlimen yang dipertandingkan. Ia hanya mengekalkan kerusi di Tapah, Cameron Highlands dan Segamat dan menawan semula Hulu Selangor pada pilihan raya kecil kemudian.

Dalam temu bual dengan Bernama, Murugesan menerangkan rancangan parti terbesar masyarakat India itu, mengatakan ia tidak pernah mengambil ringan rayuan kaum India dan telah banyak menyelesaikan masalah lama yang dihadapi komuniti itu, terima kasih juga kepada usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan presiden parti Datuk Seri G Palanivel.

"Masyarakat harus memahami bahawa rancangan ini adalah murni dan bukan hanya untuk jangka masa pendek. Ia sudah pasti mengambil masa untuk melihat hasilnya.

"Kamu tidak boleh hanya lakukan sekali dan berpendapat MIC berjaya memenangi kembali masyarakat. Tidak ada jalan pintas," katanya.

Murugesan berkata Palanivel telah merangka strategi untuk menggerakkan kerajaan melaksanakan dasar dan skim untuk membantu dan meningkatkan taraf hidup masyarakat India, sambil menepis kritikan buruk bahawa parti itu telah melakukan yang terbaik dalam usaha memastikan kaum itu tidak terlepas dari arus perdana pembangunan negara.

Di bawah Belanjawan 2013, RM350 juta diperuntukkan kepada Skim Pembiayaan Tekun bagi industri kecil dan sederhana, RM50 juta daripadanya adalah untuk Skim Keusahawanan Sosial Kaum India, katanya.

Juga RM50 juta diperuntukkan untuk melatih 3,200 pelajar India yang miskin memperoleh kemahiran industri, dan RM100 juta untuk menaik taraf dan pembangunan sekolah Tamil di seluruh negara, katanya.

Murugesan menegaskan MIC sentiasa mengekalkan dirinya sebagai parti yang bersih dan transparensi, untuk menunjukkan kepada pengundi, pemimpin parti adalah lebih baik untuk mentadbir dan akan teruskan usaha menangani isu-isu yang dekat di hati kaum India seperti sekolah Tamil, pendidikan universiti dan peluang pekerjaan untuk semua.

Beliau juga berkata parti itu telah menjalankan pengesahan pengundi dan pendaftaran di semua 4,300 cawangannya di seluruh negara, dan juga telah memperkenalkan pelbagai langkah untuk menarik pengundi muda menyertai parti itu.

"MIC bersama (komponen) Barisan Nasional yang lain telah melaksanakan beberapa program termasuk 'Karnival Kerjaya Pemuda BN' dan 'Konsert Jelajah BN Pilihan Saya' juga menggunakan media baru seperti Twitter, Facebook dan blog sebagai salah satu cara mendekati golongan muda," katanya.

"Berdasarkan statistik baru-baru ini menunjukkan antara 60 dan 65 peratus pengundi muda memilih BN berbanding Pakatan Rakyat memandangkan parti pembangkang itu hanya pandai menabur janji tetapi gagal mengotakannya," kata beliau.

"Untuk menarik generasi Y, MIC mesti berupaya memberi penjelasan dan memberitahu mereka bahawa inilah masa depan yang kita mahukan, iaitu ini adalah hala tuju bangsa bagi memastikan masa depan yang lebih baik dan stabil untuk mereka," katanya.

Murugesan berkata walaupun pengundi India kembali semula ke pangkuan BN dan trend itu semakin baik sejak 2008, MIC masih berusaha meningkatkan jumlah pengundi India.

"Memandangkan komuniti India sering kali mendesak transformasi dalam MIC, parti ini sedang melakukan transformasi agar lebih agresif untuk memenuhi harapan dan cabaran yang semakin meningkat yang dihadapi masyarakat," katanya.

Murugesan berkata parti itu menerima enam resolusi antaranya politik, hal ehwal kerajaan, pendidikan dan sosioekonomi, untuk dibahaskan pada perhimpunan itu, yang dihadiri 1,500 delegasi dan 2,000 pemerhati di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Beliau juga berkata perhimpunan itu, hanya berlangsung sehari bagi menjimatkan masa dan kos, akan dirasmikan Perdana Menteri dan pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak.

-Bernama

ADS