Tertuduh kes Sosilawati bimbang keselamatan diri

Jumlah anggota polis yang berkawal di Mahkamah Tinggi yang membicarakan kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya hari ini, lebih ramai daripada biasa, ekoran seorang daripada tertuduh membuat laporan bimbangkan keselamatannya.

Tertuduh keempat R Kathavarayan, membuat laporan polis kerana bimbangkan keselamatan diri dan keluarganya, kata Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata demikian setelah peguam Manjeet Singh Dhillon membangkitkan mengenai kehadiran ramai anggota polis yang berkawal di mahkamah itu.

Manjeet yang mewakili tertuduh pertama, bekas peguam N Pathmanabhan, turut mempersoal kenapa Kathavarayan diasingkan daripada tertuduh yang lain.

Hakim Datuk Akhtar Tahir berkata pada prosiding semalam, beliau telah mengeluarkan arahan untuk tidak membenarkan mana-mana pihak, termasuk pendakwaan atau pembelaan mendekati Kathavarayan memandangkan tertuduh masih belum selesai memberi keterangan.

Ishak turut menjelaskan bahawa tertuduh keempat telah membuat laporan polis mengenai keselamatan keluarganya, dan oleh itu adalah tidak salah pihak polis menjalankan tugas menjaga keselamatan.

Hakim Akhtar bertanyakan Kathavarayan mengapa dia membuat laporan polis dan tertuduh menjawab dia akan menjelaskannya apabila memberi keterangan nanti.

Ketika Hakim Akhtar membangkitkan mengenai peguam bela, tertuduh keempat menjawab: "Saya ingin bercakap, saya tidak mahu peguam."

Pada prosiding semalam, peguam Ravi Nekoo yang mewakili Kathavarayan memutuskan untuk menarik diri daripada mewakili tertuduh, atas alasan keterangan diberikan tertuduh di mahkamah berbeza daripada arahan yang diberikan kepada peguam itu sebelum ini.

Manjeet Singh kemudian mencadangkan bahawa tertuduh perlu diwakili peguam bela memandangkan kes itu melibatkan hukuman mati mandatori.

"Kita sudah pun habiskan masa dua tahun (terhadap kes ini). Saya tidak mahu menghabiskan dua tahun lagi. Jika dia tidak suka peguam yang ada, dia masih boleh tukar, tetapi dia mesti diwakili," katanya.

Hakim Akhtar kemudian memutuskan bahawa mahkamah akan melantik peguam untuk mewakili Kathavarayan bagi membolehkan tertuduh merujuk kepada peguam berhubung keterangan yang akan diberikannya dalam perbicaraan.

"Jika dia tidak diwakili, dia akan memberikan keterangan yang tidak relevan. Peguam boleh memudahkan bagaimana soalan dikemukakan. Tertuduh boleh mempercayainya.

Berikutan perkembangan terbaharu itu, Akhtar memutuskan untuk menangguhkan perbicaraan sehingga 14 Jan tahun depan.

Kathavarayan, 32, diperintah membela diri bersama Pathmanabhan, 43, T Thilaiyalagan, 21, dan R Matan, 22, atas pertuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Keempat-empat tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan boleh dihukum mati mandatori, jika sabit kesalahan.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.