Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Selepas 13 kali menjalani rawatan radioterapi, anak sulung kesayangan Penolong Pengarang Meja Bahasa Melayu Malaysiakini, Mohd Jimadie Shah Othman - Adam Azfar setakat ini, hanya mampu menggerakkan dua kelopak mata dan kaki kanannya sahaja.

NONE Anak sulung manja pasangan Mohd Jimadie Shah Othman, 32, dan Emme Nurelyana Sazali, 31, dimasukkan ke Hospital Serdang pada 3 November lalu sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas disahkan mengidap ketumbuhan.

Ketumbuhan yang dikenali sebagai 'Pontine Glioma' sepanjang 2.5cm itu dikesan berada di tengah-tengah bahagian otak Adam Azfar.

Adam Azfar dibenarkan pulang ke rumah pada 30 November lalu, selepas tiga minggu dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Adam turut menyambut ulang tahunnya ke-6 kelahirannya pada 23 November lalu di hospital itu.

NONE Berbanding dahulu, anak kecil itu yang ceria, aktif dan tidak kekok bermain-main dengan rakan-rakannya, kini terlantar di katil di rumahnya dalam keadaan lemah dan tidak bermaya.

"Keadaannya masih tidak bagus... Tetapi dia masih sedar. Hanya dia tak boleh bercakap dan tidak boleh makan melainkan susu bernutrien tinggi melalui tiub.

"Semua anggota tidak boleh bergerak, kecuali kaki kanan dan dua kelopak mata," kata Mohd Jimadie Shah kepada Malaysiakini .

Menurutnya, anaknya itu - yang ada kala menangis dan ada kala ketawa - hanya diberi susu bernutrien tinggi bernilai RM136 dan disediakan sebanyak 100 mililiter bagi setiap empat jam setiap hari.

NONE Tabah mengasuh anaknya setiap hari, Mohd Jimadie mengakui takut melihat timbunan ubat bagi menahan kesakitan anaknya, bagaimanapun menerima hakikat keperitan yang ditanggungnya adalah kehendak dan ketentuan Allah terhadap diri dan keluarganya.

"Ubat-ubat itu dihancurkan dan dimasukkan ke dalam susu. Steroid pula diberikan untuk mengelak bengkak selepas rawatan radioterapi," katanya.

Kadang-kadang Adam Azfar akan mengalami muntah dengan kekerapan sekali dalam tempoh dua hari, katanya.

NONE Mohd Jimadie berkata antibodi anak lelakinya itu kini lemah dan Adam tidak boleh berada di tempat awam bagi mengelakkan sebarang jangkitan untuk mengelak selsema dan batuk.

Katanya, Adam Azfar masih perlu berulang-alik setiap hari dari Puchong ke HKL untuk menjalani baki rawatan radioterapi sebanyak 16 kali dan hari ini anaknya menjalani rawatan ke-14.

Sumbangan juga boleh disalurkan melalui akaun Jimadie Shah bernombor 164717019142 (Maybank).

Orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini Adam Azfar di laman sosial Facebook 'We Love Adam Azfar' .

Kemaskini 5.28pm: Akaun di atas telah disekat oleh Maybank dan usaha untuk mengatasinya sedang dibuat.

Bagaimanapun, mana-mana pihak yang ingin menyalurkan  sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun alternatif RHB Bank bernombor 11427700088527 atas nama Mohd Jimadie Shah Othman.

ADS