Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Musa: Tak lama jadi k'jaan jika biar politik ganas

Mantan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan memberi amaran bahawa kerajaan yang membiarkan keganasan politik berleluasa mengundang risiko digulingkan melalui cara yang sama.

Katanya, beliau berkata demikian atas perhatiannya bahawa situasi politik pada masa ini "mewujudkan generasi yang bertindak ala samseng".

"Kalau awak (kerajaan) menggalakkan keganasan politik, saya merasakan kerajaan itu tak lama akan menjadi kerajaan kerana ia juga akan dijatuhkan melalui keganasan.

"Ini kerana hate politics atau politik kebencian telah mewujudkan generasi yang bertindak ala samseng.

"Ini saya rasa orang politik kita perlu menentukan penyokong mereka dikawal kerana kadangkala apabila mereka tidak mengawal penyokong mereka, ini yang berlaku," katanya dalam satu forum di Shah Alam hari ini.

Menurut pemerhatiannya lagi, ini berbeza dengan keadaan politik semasa pilihan raya sebelum ini.

"Kita tengok dahulu pilihan raya macam pesta semua keluar bersama-sama.

"Pihak pembangkang dan parti kerajaan sama-sama berjalan tak ada masalah. Sekarang tak boleh," katanya.

Beliau seterusnya menggesa agar proses membina negara dijadikan keutamaan oleh penyokong dan ahli politik selain daripada berkempen untuk parti masing-masing.

"Selepas habis pilihan raya, kita patut duduk sama-sama tanpa mengira parti sekalipun, bina negara ini sama-sama," katanya.

Ingatan itu disampaikan Musa pada forum "Politik Samseng: Di Mana Maruah Kita" yang berlangsung di Auditorium Kompleks Media Kumpulan Karangkraf, Shah Alam petang tadi.

Pemimpin kena kawal diri

Turut memberi pandangan ialah MP Hulu Selangor, P Kamalanathan yang menggesa pemimpin politik agar mengawal diri terlebih dahulu sebagai teladan yang baik buat pengikut-pengikut mereka.

"Sebelum kawal penyokong, kita kena kawal diri kita dahulu.

"Kita tak boleh jadi pencetus masalah. Kita kena jadi pemimpin untuk selesaikan masalah," katanya.

Seorang lagi pembicara forum, ahli jawatankuasa PAS Pusat, Muhamed Hanipa Maidin meningkah pendapat Kamalanathan.

"Masalahnya di Malaysia ini, (sesetengah) pemimpin itu (sendiri) adalah masalahnya.

"Jadi, cara untuk masalah ini adalah dengan membuang pemimpin itu sendiri," katanya tanpa memperincikan siapa pemimpin yang dimaksudkan.

Beliau mentakrifkan "politik samseng" yang menjadi fokus perbincangan mereka sebagai: "keadaan apabila mereka yang terlibat dalam kesamsengan ini berpunca daripada kegagalan menerima kepelbagaian pandangan dalam politik".

Forum petang tadi dimudahcara oleh penganalisis politik Universiti Malaya, Datuk Mohamad Abu Bakar turut disertai presiden Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr Mohd Tap Salleh.

ADS