Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

MCA menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi membantu peniaga termasuk kedai gunting rambut yang menghadapi masalah dengan pentadbiran kerajaan Kelantan pimpinan PAS sehingga menjejaskan perniagaan mereka.

    

Pengerusi MCA Kelantan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata jawatankuasa tersebut yang dipengerusikan oleh Giam Say Khoon iaitu Setiausaha  kepada Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, menyediakan bantuan  termasuk khidmat guaman, pinjaman modal dan memindahkan peniaga yang tidak sanggup lagi  berniaga di negeri ini ke negeri lain.

    

"Datang kepada kita untuk kita tolong mereka dari segi nak  saman kerajaan atau hendak mohon bantuan (seperti) pinjaman modal untuk mengadakan perniagaan, kita akan bantu mereka," katanya kepada pemberita ketika ditemui di mesyuarat MCA Kelantan di Kota Bharu semalam.

    

Dr Ng mengulas mengenai keluhan seorang pengurus kedai  gunting rambut di Kota Bharu, Ong Lee Ting, yang mendakwa beliau disaman 11 kali oleh  pihak berkuasa tempatan kerana pekerja wanita bukan Islam di premisnya  menggunting rambut pelanggan lelaki bukan Islam sejak 2010.

    

Akibatnya, beliau didenda antara RM200 dan RM350 dan  mendakwa ramai lagi pemilik kedai gunting turut menghadapi perkara sama.

    

Tindakan kerajaan negeri itu turut dikecam Pengerusi DAP  Karpal Singh yang dilaporkan berkata mereka yang bukan Islam boleh membawa perkara itu ke mahkamah.

    

Dr Ng yang juga Menteri Pelancongan, membidas tindakan PAS  yang mengenakan pelbagai syarat yang tidak menggalakkan sektor perniagaan kepada peniaga bukan Islam sepanjang 22 tahun parti itu memerintah negeri ini.

    

"Denda peniaga gunting rambut jika pekerja wanita bukan Islam  potong rambut lelaki bukan Islam, ini betul-betul kaum Cina tidak boleh terima, bukan  Islam tidak boleh terima. Mereka potong rambut di premis yang terbuka, ramai orang tengok, apa susahnya, apa silapnya. Bukan potong rambut dalam bilik," katanya yang mahukan peniaga terbabit segera menghubungi jawatankuasa khas itu melalui talian 03-22033888.

- Bernama

ADS