Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: M'sia akan perbetul persepsi terhadap rasuah

Malaysia akan terus memerangi rasuah dan memperbaiki kedudukannya dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI), kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

    

Perdana Menteri dalam mesej terbaharu Tweeternya malam tadi berkata: "Malaysia meningkat enam tempat lagi dalam Indeks Persepsi Rasuah, menjadikan kita tempat ketiga dalam kalangan negara Asean. Kedudukan yang akan sentiasa kita perbaiki."

    

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Transparency International mengenai kedudukan Malaysia yang lebih baik dalam CPI tahun ini iaitu kedudukan ke-54 berbanding ke-60 tahun lalu.

    

Malaysia meraih 49 daripada 100 mata dalam kajian yang mengukur tahap rasuah dalam sektor awam daripada 176 negara.

Malaysia menduduki tempat ketiga dalam kalangan negara  Asean, iaitu di belakang Singapura (kelima dunia) dan Brunei di tempat ke-46 dunia.

Sementara itu, Presiden Fraud Bertauliah Malaysia, Datuk Akhbar Satar berkata, kedudukan Malaysia yang meningkat ke tangga 54 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tahun ini berbanding tangga ke-60 tahun lalu menunjukkan bahawa segala usaha dan pembaharuan yang dibuat kerajaan berkesan.

   

Katanya, kedudukan itu perlu dibanggakan kerana ia merupakan kali pertama Malaysia menunjukkan peningkatan dalam indeks tersebut.

   

"Selalunya kedudukan kita menurun, kedudukan yang dicapai kali ini dipengaruhi oleh pelbagai pembaharuan dan tindakan yang dibuat kerajaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ada iltizam politik," katanya kepada Bernama semalam.

Akhbar yang juga bekas pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Perlis dan Negeri Sembilan berkata penubuhan 14 mahkamah khas rasuah juga mempercepat penyelesaian sesuatu kes rasuah.

   

"Pelaburan dari negara luar akan bertambah kerana mereka akan melihat kepada CPI negara terbabit sebelum membuat pelaburan, usaha-usaha yang baik perlu diteruskan dan perlu kerja kuat untuk meningkatkan aktiviti pencegahan rasuah," katanya.

Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM) Datuk Dr Mohd Tap Salleh berkata kejayaan itu menunjukkan tanda positif dan ia merupakan tapak yang baik untuk Malaysia terus memperbaiki kedudukan dalam CPI pada tahun-tahun akan datang.

   

"Kita di IIM sangat bangga kerana ia menunjukkan peningkatan, kalau trend ini berterusan dan tiada noktah saya jangka kedudukan akan menjadi lebih baik tahun depan.

   

"Ada yang kata mungkin perubahan ini disebabkan metodologi yang berbeza digunapakai pada tahun ini, tetapi walau apa pun kayu ukuran yang diguna, bila ia menunjukkan penambahbaikan, kita harus bangga," katanya.

   

Beliau berkata ikrar integriti korporat di mana syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang telah menandatangani ikrar tersebut secara sukarela bahawa mereka tidak akan mengambil rasuah ketika berurusan juga menggalakkan indeks tersebut meningkat.

   

"Sebanyak 150 lebih syarikat besar yang sudah menandatangan, IIM berusaha dengan GLC di negara ini supaya ia akan menjadi satu tadbir urus korporat yang baik," katanya.

   

Beliau berkata selain itu, program Ketua Pegawai Integriti di mana pegawai akan diberi latihan selama enam bulan di Pusat Latihan SPRM akan ditempatkan di agensi yang mengambil bahagian bukan sahaja untuk memantau tugas audit dalam tetapi lebih daripada itu termasuk penilaian kakitangan.

Transparensi Antarabangsa Malaysia (Ti-M) kelmarin mengumumkan bahawa Malaysia meningkat ke tangga 54 dalam CPI tahun ini berbanding tangga ke-60 tahun lalu dan mendapat 49 dari 100 mata pada kaji selidik yang menilai tahap penerimaan rasuah sektor awam di kalangan 176 negara.

   

Malaysia juga berada di ranking ketiga di kalangan negara Asean di belakang Singapura yang memperoleh 87 mata diikuti Brunei Darussalam di tempat kedua dengan 55 mata. 

- Bernama

ADS