Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Salleh: Pakatan parti 'Touch and Go', tanpa polisi jelas

Timbalan Pengerusi Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak menyifatkan pakatan pembangkang sebagai parti "touch and go" yang tidak mempunyai dasar jelas untuk mentadbir dan mengubah negara.

Sambil menggesa rakyat agar tidak terpedaya dengan helah pembangkang, Salleh berkata pendekatan pembangkang hanya mencipta dan memainkan isu dengan harapan memenangi hati dan minda rakyat.

"Pakatan tidak tahu bagaimana mahu menyelesaikan masalah, objektif mereka hanya untuk membentuk kerajaan dan akan bergaduh sesama mereka.

"Ini sudah dibuktikan di negeri yang mereka tadbir termasuk di Selangor dan Pulau Pinang," katanya ketika berucap pada majlis bersama rakyat di Kampung Tamau, dekat Kota Belud hari ini.

Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah percaya pakatan parti pembangkang itu tidak akan bertahan kerana pakatan mereka berdasarkan 'marriage of covenience' atau kesenangan bersama.

Memberi contoh tanda-tanda perpecahan dalam pakatan semakin ketara dengan isu terbaharu membabitkan cadangan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai perdana menteri jika mereka menang pilihan raya umum ke-13, Salleh berkata itu hanya peringkat permulaan.

Saranan itu disuarakan seorang perwakilan PAS pada muktamar tahunan parti bulan lepas, namun perkara tersebut disanggah pemimpin pembangkang lain termasuk Lim Guan Eng, yang dilapor berkata DAP berpegang kepada konsensus sebelum ini bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dilantik perdana menteri jika pembangkang menang pilihan raya umum akan datang.

Mengulas lanjut, Salleh berkata jelas perebutan dalaman sudah menjadi budaya pakatan pembangkang kerana mereka "berkawan" untuk mengaburi mata rakyat dalam usaha mahu memerintah negara.

Semua ini berbeza dengan BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempunyai dasar dan arah yang jelas, katanya.

"BN bersedia membuat keputusan yang sukar demi negara. BN parti yang bertanggungjawab dan mahu maju ke hadapan serta mengubah negara. BN mahu menghasilkan lebih banyak peluang pekerjaan dan ekonomi untuk rakyat," katanya.

Salleh juga menegaskan kerajaan serius dalam memperjuangkan rakyat, justeru masyarakat terutama penduduk Sabah harus memberi sokongan tidak berbelah-bahagi kepada BN pada pilihan raya umum akan datang.

-Bernama

ADS