Pegawai LPTA ditempat di loji Lynas

Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (LPTA) telah menempatkan pegawainya di premis kilang Lynas sepenuh masa bagi mengawalselia secara berterusan setiap peringkat proses ujian bahan mula pekatan lantanid.
    
LPTA dalam satu kenyataan berkata ia perlu untuk memastikan segala keperluan undang-undang kebangsaan dan standard keselamatan serta amalan terpuji antarabangsa dipatuhi sepenuhnya.
    
"Kawalseliaan secara berterusan juga dilaksanakan ke atas aktiviti pengimportan bahan mula pekatan lantanid ke Malaysia," kata kenyataan itu di ibunegara hari ini.
    
Syarikat Lynas (M) Sdn Bhd kini memulakan ujian pemprosesan bahan mula pekatan lantanid secara terhad dan berperingkat selaras dengan syarat Lesen Peringkat Pengendalian Sementara (TOL).
    
"Di bawah Seksyen 22 Akta Perlesenan Tenaga Atom 1994 (Akta 304), sekiranya pihak syarikat melanggar mana-mana syarat lesen atau melakukan sesuatu kesalahan di bawah akta, LPTA boleh membatalkan atau menggantung TOL yang telah dikeluarkan kepada syarikat sebelum ini.
    
"Dalam hal ini, sekiranya berlaku perlanggaran kepada syarat-syarat lesen yang telah ditetapkan, operasi syarikat akan diberhentikan secara serta merta sebelum tindakan selanjutnya diambil di bawah peruntukan akta yang sama," katanya.
    
LPTA telah mengeluarkan TOL kepada syarikat Lynas (M) Sdn Bhd pada 3 September 2012 setelah lembaga berpuas hati bahawa Lynas telah mematuhi kesemua aspek teknikal, keperluan Akta 304 dan perundangan subsidiari di bawahnya serta syarat tambahan dan syarat khas yang dikenakan ke atasnya.
    
Permit membenarkan kemasukan bahan mula pekatan lantanid juga telah dikeluarkan bagi tujuan menguji keselamatan peralatan dan proses pengeluaran.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.