Tubuh s'jaya kebenaran dan rekonsiliasi, gesa Ku Li

Kerajaan digesa membentuk Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasi bagi membantu menangani isu tadbir urus yang baik menerusi penemuan kebenaran berkaitan keadaan semasa rasuah, takat amalan dan cara menghapuskannya sebagai satu cara hidup.
    
Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata badan itu mesti mempunyai status sebuah mahkamah undang-undang dengan kuasa kehakiman yang diperlukan bagi meninggalkan kesan.
    
"Selepas melihat keberkesanan Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasi di Afrika Selatan dalam menyatupadukan negara itu tanpa wujud sebarang perbuatan salah, banyak pihak di Malaysia berpendapat penubuhan badan itu sememangnya mempunyai merit," katanya dalam ucaptama di Persidangan ke-78 Rotary International District 3300 di Petaling Jaya hari ini.
    
Teks ucaptama beliau diberi kepada Bernama.
    
Tengku Razaleigh juga berkata suruhanjaya itu mesti berupaya memberi pengampunan kepada mereka yang mengamalkan rasuah serta menyalah guna kedudukan ketika berkuasa bagi mengumpul kekayaan.
    
"Apabila berkuat kuasa kelak, suruhanjaya itu boleh, misalnya, mengisytihar tempoh tangguh selama enam atau 12 bulan, atau apa-apa tempoh lain yang munasabah bagi membolehkan mereka ini menebus kesalahan masing-masing.
    
"Semasa moratorium ini, tidak ada sebarang tindakan terhadap mereka. Bagaimanapun, jika didapati kemudian bahawa seorang pembuatakuan tidak berkata benar, maka dia akan berdepan tindakan undang-undang sepenuhnya," katanya.
    
Tengku Razaleigh berkata di bawah langkah pengampunan ini, orang yang terlibat dengan rasuah dikehendaki mengikuti satu program rehabilitasi.
    
"Beliau, dan ini termasuk penerima dan pemberi rasuah, dikehendaki mengisytihar tidak akan mengamalkan rasuah lagi serta menyesal kerana pernah terlibat.
    
"Rehabilitasi dan sumpah ini mungkin kedengaran agak drastik, namun ia tidaklah begitu teruk dalam konteks kesan menghakis rasuah terhadap ekonomi dan keutuhan moral negara.
    
"Memandangkan rasuah bersifat endemik kebelakangan ini, preskripsi untuk menghapuskannya secara kekal adalah wajar," katanya.
    
Tengku Razaleigh berkata kerajaan juga harus berfikir secara serius untuk memansuh atau mengkaji semula Akta Rahsia Rasmi.
    
Beliau berkata orang awam perlu dilindungi oleh suatu akta undang-undang terhadap pendakwaan dalam usaha mendapatkan akses kepada sesuatu maklumat, meskipun ia memalukan kerajaan yang memerintah.
    
"Kita perlu menghentikan amalan menggunakan sesuatu akta, yang bertujuan melindungi rahsia negara daripada didedah, terhadap sesiapa yang menarik perhatian umum kepada satu skandal salah laku," katanya.
    
- Bernama
   
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.