Konvoi ANAK dihalang masuk Felda Selasih di T'ganu

Konvoi Kembara Oren dari Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) serta penyokong PAS telah membuat cubaan untuk memasuki menyebar risalah di Felda Selasih dekat Jertih semalam tetapi telah dihalang oleh peneroka Felda terbabit.

Dalam kejadian yang bermula jam 5 petang dan berakhir sejam 6.30 petang itu kira-kira 200 peneroka termasuk isteri serta anak generasi kedua Felda Selasih berhimpunan secara aman dan menyekat kemasukan konvoi di pintu masuk utama rancangan tanah berkenaan.
    
Peneroka menggunakan wanita sebagai benteng ketika membantah kemasukan 80 kenderaan pacuan empat roda yang menyertai konvoi kembara bermula dari Johor itu.
    
Konvoi yang diketuai Presiden ANAK Mazlan Aliman mengadakan rundingan dengan pihak Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Felda diketuai Pengerusinya, Alias Abdul Ghani, tetapi pihak JKKF tidak memberi kebenaran.
    
Selepas berunding kira-kira sejam akhirnya pihak ANAK mengalah dan meneruskan konvoi ke Felda Tenang, Hulu Besut kira-kira jam 6.30 petang.
    
Sementara itu, Ketua Polis Besut Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika ditemui di tempat kejadian berkata pihaknya turut menempatkan anggota polis bagi mengawal keadaan tetapi tiada sebarang kejadian tidak diingini
berlaku.

Sementara itu, Anggota Parlimen Setiu Datuk Mohd Jidin Shafee berkata tidak ada sebabanasir luar terutama dari kalangan pembangkang masuk ke tanah-tanah rancangan bagi membetulkan keadaan kerana kehidupan peneroka di Terengganu kini baik dan aman.
    
Katanya, cubaan anasir luar membabitkan kumpulan yang ditaja pembangkang ke beberapa rancangan tanah di negeri ini termasuk ke Felda Selasih semalam ternyata berniat jahat untuk memporakperandakan keamanan yang sekian lama terjalin di kalangan peneroka di situ.
    
“Saya bersyukur peneroka Felda Selasih telah menolak golongan itu bagi memastikan suasana aman dan tenteram yang dikecapi mereka tidak diganggu-gugat”, katanya kepada media selepas merasmikan penubuhan Kelab Warga Emas DUN Jabi dindewan orang ramai Kampung Pak Wong dekat Besut hari ini.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.