Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ahmad Bashah: Lantik exco jadi YDP tak membantu

Keputusan Kerajaan Kedah melantik seorang Exco kerajaan negeri menjalankan tugas Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP) hanyalah sekadar untuk meredakan kekecohan antara kerajaan negeri dengan ahli majlis MDKP.

Pelantikan Pengerusi Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar dan Membasmi Kemiskinan Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi menjalankan tugas jawatan itu sebenarnya tidak banyak membantu pembangunan daerah itu kerana Phahrolrazi perlu membuat banyak keputusan untuk MDKP dan pada masa sama terikat dengan tugas Exco.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berharap pelantikan itu menyelesaikan sementara pergolakan antara ahli majlis MDKP dengan kerajaan negeri kerana ahli majlis mahukan orang tertentu memegang jawatan itu.

"Memang boleh YDP kerajaan tempatan sesiapa sahaja, tak semestinya KCS (Pegawai Tadbir Kerajaan Negeri Kedah) (seperti amalan sebelum ini), tapi ini kali pertama Exco jadi Pemangku YDP.

"Ahli Majlis nak YDP lama tetapi Setiausaha Kerajaan Negeri sudah pindahkan dia ke tempat lain. Menteri Besar hanya nak selesaikan masalah itu tapi masalah sebenarnya tak selesai. Ni kes sapu sampah bawah karpet," katanya kepada pemberita di Alor Setar.  

Katanya beliau melihat keputusan kerajaan negeri itu berikutan pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) semakin hampir dan Azizan tidak mahu lagi melantik YDP kerana takut kekecohan itu berterusan.

Pada 5 Dis, Azizan mengumumkan pelantikan Phahrolrazi menjalankan tugas YDP MDKP sehingga YDP baru dilantik.

Isu jawatan YDP MDKP bermula apabila Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Rasli Basir menukar Pegawai Daerah Kubang Pasu Ahmad Fisol Md Nor, yang juga YDP MDKP, ke Daerah Kuala Muda.

Tindakan itu mendapat bantahan ahli majlis MDKP yang melakukan beberapa demonstrasi di Wisma Darul Iman dan meletakkan sepanduk dan poster supaya Rasli meletak jawatan atau digantikan.

Kumpulan itu mendakwa Rasli menyalahgunakan kuasa untuk memindahkan Ahmad Fisol sebagai Pegawai Daerah Kuala Muda.

Amalan biasa sebelum ini YDP MDKP secara automatik disandang sesiapa yang memegang jawatan Pegawai Daerah Kubang Pasu.

- Bernama

ADS