Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang kontraktor pembinaan terkejut apabila seorang pekerja warga Pakistan menunjukkan satu objek yang dijumpai ketika menggali kolam di depan sebuah rumah teres di Kampung Pandan di Johor Bahru, semalam.

Kontraktor itu, yang ingin dikenali sebagai Goh, 50, berkata beliau segera menyedari objek dibawa pekerja tersebut adalah sebutir bom lama, dipercayai mortar.

"Dia bawa barang itu kepada saya dan kata boleh jual sebagai besi buruk sebab berat serta boleh mendapat harga yang tinggi. Tapi saya tahu itu bom sebab semasa kerja di Ipoh dulu, saya pernah tengok," katanya yang menyuruh pekerja itu meletakkan bom tersebut ke tanah perlahan-lahan sebelum menghubungi pemilik rumah berkenaan.

Chong Hoi Chun, 67, berkata beliau membeli rumah itu empat bulan lepas dan terkejut apabila dimaklumkan bahawa ada bom dijumpai di kawasan rumah yang dijadikan stor penyimpanan keranda.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu (Selatan) ACP Zainuddin Yaacob mengesahkan penemuan bom itu.

"Kita telah menemui dua butir bom di tempat tersebut, dan telah memusnahkan kedua-duanya," katanya sambil menambah pihaknya tidak tahu berapa usia bom itu.

Beliau menyeru orang ramai yang menjumpai objek mencurigakan agar menjauhinya demi keselamatan mereka, dan menghubungi polis di talian 072212999.

- Bernama

ADS