Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR: Najib perkecil angka golongan India tanpa kerakyatan
Diterbitkan:  Dec 10, 2012 1:13 PM
Dikemaskini: 8:53 AM

Naib presiden PKR N Surendran menyelar dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa hanya terdapat 9,000 masyarakat India tanpa kewarganegaraan di Malaysia.

“Kenyataan perdana menteri tidak jujur dan cubaan memalukan untuk memperkecil-kecilkan jumlah keturunan India tanpa kerakyatan di Malaysia; jumlah 9,000 adalah tidak berasas dan tidak masuk akal," katanya dalam satu kenyataan.

Najib semalam menafikan dakwaan Pakatan Rakyat bahawa terdapat 300,000 keturuan India tanpa kerakyatan di negara ini.

Dalam ucapannya di perhimpunan agung MIC semalam, Najib berkata jumlah itu diperbesar-besarkan, namun tidak memberi anggaran sebenar jumlah anggota masyarakat India yang mengalami masalah itu.

Katanya, semakannya menunjukkan seramai 9,000 orang telah mendaftar dan sebanyak 4,500 kes telah diselesaikan dan diberi kad pengenalan, manakala seramai 2,000 lagi sedang diproses.

Surendran berkata, perdana menteri membuat anggaran itu berdasarkan jumlah individu yang tampil ke kaunter Jabatan Pendaftaran Negara semasa kempen MyDaftar.

Namun, jumlah sebenar mungkin "terlepas pandang" memandangkan kempen MyDaftar hanya dijalankan selama beberapa minggu.

“Perdana menteri memperolok-olokkan dan menipu masyarakat India," katanya lagi.

Surendran seterusnya mendakwa, Najib tidak menjalankan usaha untuk menyelesaikan isu masyarakat India tanpa kerakyatan.

Katanya, satu-satunya penyelesaian kepada isu berkenaan adalah menemui individu terjejas di seluruh negara dan mendaftar golongan itu secara sistematik.

ADS