Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan menteri di jabatan perdana menteri Datuk Ahmad Maslan berkata, beliau "tidak kisah" dengan usaha Persatuan Anak Peneroka Felda (ANAK) untuk menghalang pengerusi Tan Sri Mohd Isa Samad daripada dilantik sebagai pengerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF).

Ahmad menjelaskan beliau tidak kisah dengan usaha itu kerana ANAK menurutnya tidak mewakili suara peneroka dan bukan pertubuhan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan.

"Mereka ini bukan satu pertubuhan berdaftar. Mereka nak halang apa? (ANAK) Pertubuhan haram yang buat fitnah demi fitnah. Manalah mereka dapat cerita khayalan dan dongeng seperti itu.

"Tak kisahlah apa dia nak buat.. nasiblah.. Walaupun dia anak peneroka itu tak jadi masalah. Tapi dia tak mewakili suara peneroka," katanya.

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pada awal bulan ini mengarahkan KPF mengadakan semula perhimpunan agungnnya sebelum 31 Disember.

ANAK mempersoalkan keputusan berkenaan, yang didakwa sebagai satu percubaan Felda Global Ventures (FGV) supaya KPF menjadi pemegang saham utama Felda Holdings.

Pengerusi ANAK Mazlan Aliman mendakwa langkah itu juga bagi memastikan Isa serta pemangku ketua pengarah Felda Faizoull Ahmad dilantik menganggotai KPF.

Sementara itu, ditanya berhubung saman oleh Felda yang dirancang ke atas akhbar Suara Keadilan dan Harakah , Ahmad berkata ia akan tetap diteruskan.

Katanya, Felda akan menyerahkan surat tuntutan kepada Mazlan pada minggu ini.

"Kita akan teruskan saman... Dalam minggu ini.

"Kita juga telah lantik Datuk Azfarizam sebagai peguam dan penasihat undang-undang Felda dan meminta beliau lakukan dan hantar segala notis yang perlu," katanya lagi.

ADS