K'jaan belum putus cadangan swasta KTMB

Kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenai cadangan penswastaan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim.

NONEBeliau berkata satu kajian ketekunan wajar telah dijalankan oleh syarikat MMC Corporation Berhad ke atas KTMB bagi tujuan penswastaan itu, dan cadangannya telah pun dikemukakan kepada kerajaan.

"Namun, kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan mengenainya kerana ia perlu diteliti, dikaji dan dipertimbang dengan lebih terperinci sebelum mengambil tindakan selanjutnya," katanya menjawab soalan Senator Abdul Shukor Mohd Sultan di Dewan Negara, hari ini.

Abdul Shukor ingin tahu status cadangan penswastaan KTMB dan kesan terhadap organisasi itu.

Lim berkata penswastaan yang dicadangkan itu mampu meningkatkan penyampaian KTMB ke tahap lebih baik dan berkualiti berdasarkan konsep dorongan prestasi.

Mengulas lanjut, katanya, ia penting dalam memastikan KTMB mencapai matlamat operasi mapan tanpa banyak bergantung kepada bantuan kewangan kerajaan di masa depan.

NONEMenyedari kekhuatiran pihak tertentu mengenai cadangan penswastaan itu, Lim berkata kerajaan masih mempunyai kepentingan terhadap aset kereta api dan sentiasa memastikannya dipelihara dan diuruskan dengan cekap serta berkesan.

"Justeru, cadangan penswastaan berkenaan harus diperhalusi agar kepentingan kerajaan sentiasa terpelihara termasuk perkataan 'Melayu' di dalam jenamanya," katanya.

Menjawab soalan Senator Khairiah Mohamed sama ada jumlah pelepasan cukai ke atas pembelian buku, yang pada masa ini berjumlah RM1,000, boleh dinaikkan untuk menggalakkan budaya membaca, Lim berkata kerajaan tidak bercadang berbuat demikian kerana kadar itu adalah memadai.

Sambil menegaskan bahawa peningkatan kadar pelepasan cukai akan mengakibatkan kehilangan hasil kerajaan, beliau berkata banyak inisiatif lain yang dirancang bagi menggalakkan tabiat membaca termasuk melalui Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, Kembara Buku 1Malaysia dan Sumbangan Buku 1Malaysia.

-Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.