MB Perak: Umno-MIC setuju tukar kawasan

Umno dan MIC pada dasarnya bersetuju berhubung pertukaran kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi di Perak pada pilihan raya umum akan datang serta sedang memikirkan kawasan yang sesuai bagi tujuan itu, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

NONEZambry yang juga pengerusi BN Perak berkata pertukaran kawasan merupakan antara perkara dibincangkan parti komponen BN, namun selagi ia tidak dipersetujui secara bersama, komponen BN tidak akan membuat sebarang keputusan.

"Malah kuota yang diperkenalkan itu juga, kita (komponen BN) perlu hormat antara satu sama lain. Bukan (kerusi DUN Behrang dan DUN Pasir Panjang) itu sahaja, mungkin ada kawasan lain, tapi pada asasnya adalah kehendak dan persetujuan bersama," katanya kepada pemberita selepas hadir majlis Hari Bertemu Pelanggan kerajaan negeri di Ipoh hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel bahawa parti itu berminat membuat pertukaran kawasan DUN di Perak dengan parti komponen BN lain pada pilihan raya umum akan datang.

Palanivel berkata MIC bersedia melepaskan kerusi Behrang dan Pasir Panjang sebagai pertukaran dengan kerusi Buntong, yang mempunyai 48 peratus penduduk India, manakala satu kerusi lagi masih di peringkat rundingan dan jika MIC tidak mendapat kerusi yang dimintanya di Perak, parti itu akan memilih Dengkil di Selangor sebagai pilihan kedua.

NONEZambry yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata proses perbincangan itu masih berterusan dan pada dasarnya Umno sudah capai persetujuan awal dengan MIC serta memikirkan kawasan yang sesuai untuk pertukaran itu ke arah memastikan BN beroleh kemenangan tanpa ada sebarang masalah.

Ketika ditanya sama ada beliau mahu pertukaran kerusi itu berlaku antara kawasan di Perak atau dengan negeri lain, Zambry berkata ada beberapa formula yang dikemukakan antaranya bergantung kepada kuota keseluruhan kerusi negeri di negara ini.

"Tetapi saya lebih tertarik sekiranya (jumlah) kuota MIC di Perak itu kekal namun keputusan muktamad terpulang kepada presiden parti. Saya lebih cenderung ia dikekalkan dan mempunyai wakil BN dari komponen MIC di Perak seperti yang BN ada sekarang," katanya.

Mengenai ramalan pembangkang bahawa Umno hanya akan bertanding di dua kawasan Parlimen sahaja iaitu Gerik dan Lenggong pada pilihan raya umum akan datang, beliau berkata ramalan itu tidak boleh diguna pakai.

-Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.