Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Umno Pulau Pinang telah pun menggerakkan jentera pilihan raya dengan mengaktifkan 141 pusat daerah mengundi sebagai persiapan awal, kata Timbalan Pengerusi Umno Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Katanya Umno Pulau Pinang menyahut seruan Presiden Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya jentera pilihan raya parti di peringkat negeri diperkuat.

NONE "Bagi kami di Umno Pulau Pinang, kami sudah pun bergerak, sudah turun padang, pergi rumah ke rumah dan mengadakan ceramah. Kami terus buat kerja kami, menguatkan jentera pilihan raya," katanya kepada Bernama di Georgetown.

Tambah Musa, "Soal calon kami serahkan kepada presiden dan akan sokong (keputusan). Kami pun nampak di peringkat bahagian di negeri ini, mereka pun tak kisah siapa yang akan jadi calon, tetapi apa yang penting adalah bekerja kuat untuk pilihan raya akan datang.

"Saya percaya selepas nasihat daripada PM dan TPM, sekarang kita dapat lihat bahawa pemimpin Umno di peringkat akar umbi (di Pulau Pinang) akan sokong siapa saja jadi calon, tidak akan ada sabotaj daripada ahli-ahli. Ini kerana mereka lihat keadaan politik di Pulau Pinang dan sudah pun juga merasai pengalaman (daripada pemerintahan pakatan pembangkang)," tambah beliau.

Musa juga memberitahu bahawa Umno kini semakin diterima sebagai parti yang bukan hanya semata-mata mewakili masyarakat Melayu, tetapi kaum lain juga.

Bagi Umno Pulau Pinang dan khususnya Umno Bahagian Bukit Mertajam, kini boleh dilihat rakyat pelbagai kaum sering mengunjungi pusat khidmatnya untuk memohon bantuan atau urusan yang lain.

"Di Bukit Mertajam, majoriti penduduk adalah kaum Cina dan mereka datang ke pusat khidmat saya di pejabat Umno Bahagian Bukit Mertajam untuk memohon dan mendapatkan pelbagai bantuan termasuk BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia)," kata Musa.

Katanya, rakyat tidak lagi terpegaruh dengan dakyah jahat pembangkang kononnya Umno adalah rasis dan sebaliknya mereka melihat Umno sebagai tunjang kepada BN.

"Umno juga telah membawa kemakmuran nasional sejak dahulu lagi menerusi kerjasama dengan mencipta prinsip atau konsep perkongsian kuasa unik melalui gabungan Umno, MCA dan MIC serta parti komponen BN yang lain," kata beliau.

Beliau berkata pakatan pembangkang cuba memecahbelahkan kekuatan BN dengan membuat tohmahan kononnya Umno rasis supaya menimbulkan kebencian rakyat.

Musa berkata tohmahan pembangkang itu adalah kerana mereka semakin bimbang apabila perkhidmatan yang diberikan Umno mula diterima oleh semua kaum di negeri ini.

"Ini semakin terbukti dengan jumlah kehadiran rakyat sempena lawatan perdana menteri baru-baru ini, Umno Bahagian sediakan pengangkutan dan yang menaiki bas itu adalah rakyat dari pelbagai kaum," kata beliau.

Katanya jumlah kaum Cina yang hadir pada majlis pelancaran 'Jelajah Janji Ditepati' itu juga ramai dan ia pentanda baik berbanding dua tiga tahun yang lepas.

-Bernama

ADS