Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pegawai kanan kastam didakwa kes dokumen palsu

Bekas Penolong Kanan Pengarah Kastam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini terhadap pertuduhan memperdayakan pegawai kastam berhubung dokumen pembekalan kamera digital yang palsu.

Zameri Ibrahim, 53, didakwa memperdayakan Penolong Kanan Pengarah Kastam Putrajaya Mohd Shafie Yaacob iaitu pegawai yang meluluskan bayaran, cawangan pengurusan perolehan Ibu Pejabat Kastam Putrajaya, satu dokumen bertarikh 25 Julai 2006 yang mengandungi butiran matan palsu.

Dalam dokumen itu, tertuduh telah memperakukan pembekalan 40 unit kamera digital SLR berharga RM9,000 seunit yang kesemuanya berjumlah RM360,000 dari Central Management Catalougue Agency Sdn Bhd.

Bagaimanapun jenis sebenar kamera yang dibekalkan adalah Sony DSC-H5 berharga RM6,000 seunit berjumlah RM240,000 yang mana telah mengelirukan Mohd Shafie.

Sementara itu, seorang lagi bekas Penolong Kanan Pengarah jabatan itu, Abdul Razak Md Ali mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama terhadap pertuduhan bersubahat dengan Zameri atas kesalahan yang sama.

Mereka dari cawangan khidmat sokongan dan marin Ibu Pejabat Kastam Diraja Malaysia Putrajaya didakwa melakukan kesalahan itu di bahagian pencegahan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, pada 11 Sept 2006.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 11(C) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Afifah Yusof menawarkan wang jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin setiap seorang atas alasan kesalahan yang dilakukan kedua-dua tertuduh adalah serius.

Peguam Nik Muammer Hurrie yang mewakili Zameri memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya telah pencen sejak empat tahun lalu dan perlu menanggung ibu yang sakit tua.

Peguam Zamani Dol Mat yang mewakili Abdul Razak turut memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya itu tidak mampu untuk membayar jaminan tersebut.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membenarkan kedua-dua tertuduh, masing-masing  diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Jan ini untuk pengurusan kes.

- Bernama

ADS