Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MCA, bekas ulama PAS senada isu salun KB
Diterbitkan:  Dec 14, 2012 6:21 PM
Dikemaskini: 10:49 AM

Keputusan kerajaan PAS Kelantan menangguhkan penguatkuasaan syarat pelesenan kedai gunting di negeri itu terus meraih kritikan daripada pemimpin MCA dan juga beberapa orang bekas pemimpin ulama PAS hari ini.

Antaranya, ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong MCA yang mendakwa tindakan kerajaan PAS Kelantan tidak menunjukkan keikhlasan kerajaan negeri dan Pakatan Rakyat dalam

melaksanakan dasar yang tidak mendiskriminiasi bukan Islam.

"Mereka ini mengatakan PAS untuk semua tapi apa yang dibuat itu bukan menjaga kebajikan semua, ia dilakukan tanpa mengambil kira perasaan kaum lain.

"Ini adalah perkara yang tidak direstui oleh masyarakat bukan Islam," katanya seperti dipetik Bernama hari ini.

Senada dengan Wee ialah bekas setiausaha Dewan Ulama PAS Kelantan Wan Ismail Wan Ahmad yang berkata PAS bertindak demikian demi menjaga hati rakan dalam Pakatan.

Oleh itu, dakwanya, PAS tidak bersungguh-sungguh untuk melaksanakan hukum Islam, khususnya hukum hudud, katanya dalam satu lagi laporan Bernama .

Menurut laporan itu, Wan Ismail berkata: "PAS sebenarnya sama-sama ghairah dengan pakatan pembangkang untuk menawan Putrajaya dan pemimpin parti itu tidak bersungguh-sungguh untuk melaksanakan hukum Islam sebagaimana yang dicanang selama ini khususnya hudud".

Laporan berkenaan juga memetik kenyataan bekas anggota jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat Prof Madya Mohd Noor Deris yang PAS Kelantan tidak berani melaksanakan sesuatu undang-undang dengan tegas.

"Keputusan menangguh pelaksanaan dan mengkaji semula undang-undang sekecil ini, menjadi bukti kepada rakyat di dalam dan luar Kelantan bahawa apa yang dicanang oleh PAS untuk melaksanakan hukum Islam, hanya semangat politik sahaja.

"Usahkan hukum hudud yang besar tidak dilaksanakan...undang-undang kecil boleh dimain-mainkan pemimpin PAS," katanya.

ADS