Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Devamany letak jawatan jika 300,000 India tiada dokumen diri

Naib Presiden MIC Datuk SK Devamany sedia meletak jawatan jika pakatan pembangkang dapat membuktikan dakwaan 300,000 masyarakat India di negara ini tiada dokumen pengenalan diri.

    

Beliau berkata pakatan pembangkang sengaja bermain dengan angka yang tidak wujud serta fakta palsu bagi mengelirukan rakyat dan menyemarakkan rasa benci mereka terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

    

"Saya minta mereka (pakatan pembangkang) bawa semua 300,000 orang yang dimaksudkan, disokong dengan dokumen sebagai bukti dakwaan. Jika semua itu ada, saya sedia letak jawatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Majlis Kelab Belia Tamil Malaysia ke-45 di George Town hari ini.

    

Devamany turut menyifatkan Naib Presiden PKR N Surendran sebagai terdesak kerana menganjur protes jalanan berhubung perkara itu di ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara, Rabu lepas.

    

Beliau berkata jika pakatan pembangkang ikhlas membantu, isu itu sepatutnya dibawa ke saluran yang betul dan dibincang bersama pemimpin MIC untuk diselesaikan secara muafakat.

    

Devamany, yang juga Anggota Parlimen Cameron Highlands, turut membidas kenyataan Surendran baru-baru ini bahawa 70 peratus masyarakat India berada di bawah paras kemiskinan dengan pendapatan isi rumah purata RM700 sebulan.

Beliau melihat kenyataan itu satu tuduhan liar bermotif politik bagi meraih sokongan rakyat.

    

"Ia bermakna 1.4 juta masyarakat India di negara ini berada di bawah paras kemiskinan. Saya minta pemimpin pembangkang cakaplah perkara yang benar. Kita berpolitik bukan kerana hendak menang sahaja tetapi mahu membangunkan rakyat," katanya.

    

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga berkata kerajaan BN sentiasa membela kepentingan kaum India dengan melaksana pelbagai program transformasi bagi membantu melonjakkan pencapaian kaum tersebut di negara ini.

- Bernama

ADS