Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terhumban ke dalam sungai di Kampung Telaga Batu, Jalan Sungai Korok dekat Jitra hari ini.

    

Mohd Zulrani Mohd Nasir, 23, dari Kampung Baru Tok Pauh, Changlun, mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Jitra.

    

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Ibrahim Mohd Yusoff berkata hasil bedah siasat mendapati lelaki itu mati akibat lemas.

    

Dalam kejadian pada pukul 12.10 tengah hari itu, Mohd Zulrani yang bekerja sendiri dalam perjalanan dari Simpang Balai Pos Air Hitam menuju ke pekan Jitra.

Mohd Zulrani dipercayai memandu laju dan gagal mengawal kenderaan di laluan yang tidak rata menyebabkan kereta Proton Iswara itu terbabas sebelum terlanggar tiang utiliti dan terhumban ke dalam sungai.

    

Timbalan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra Mohamad Darus berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.15 tengah hari dan ketika tiba di tempat kejadian, mangsa berada di tebing sungai.

"Kami cuba memberi bantuan kecemasan sebelum mangsa dihantar ke hospital menggunakan kenderaan orang awam," katanya.

Isteri mangsa, Shahira Abd Ghani, 20, berkata suaminya ada menyebut untuk berjumpa kawan sebelum keluar dari rumah pagi ini.

"Saya mendapat tahu tentang kejadian ini selepas mendapat panggilan daripada rakan suami. Saya reda...," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Jitra hari ini.

Sementara itu, di Kota Tinggi, tiga maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 44, Jalan Sungai Rengit–Kota Tinggi semalam.

    

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Che Mahazan Che Aik berkata mereka ialah  Mohd Ali Kenid, 51, dari Kampung Felcra Sungai Layau, Abdul Samah Darmawi, 56, dari Felda Kledang dan Siti Noraizah Abdul Wahab, 21 dari Felda Sungai Mas.

Beliau berkata Mohd Ali meninggal dunia di tempat kejadian, Abdul Samah ketika dalam perjalanan ke Hospital Kota Tinggi (HKT) manakala Siti Noraizah pula selepas lima jam menerima rawatan di HKT.

    

"Kemalangan berlaku kira-kira pukul 5 petang apabila lori treler yang dalam perjalanan menuju ke Kota Tinggi telah bergesel dengan sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipandu oleh Siti Noraizah, yang datang dari arah bertentangan.

"Kejadian itu menyebabkan lori treler berkenaan hilang kawalan lalu masuk ke arah bertentangan lalu bertembung dengan kereta Proton Wira yang dipandu oleh Mohd Ali.

    

"Kereta yang dipandu oleh Abu Samah dari arah Kota Tinggi ke Sungai Rengit juga tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian tengah lori berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

    

Che Mahazan berkata pada masa sama, sebuah lagi kereta jenis Proton Saga yang mengekori kenderaan dipandu Siti Noraizah juga tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang kereta mangsa, namun pemandunya hanya cedera ringan.

Beliau berkata polis kini menahan pemandu lori treler untuk membantu siasatan mengikut Seksen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.

    

Jenazah semua mangsa telah dituntut anggota keluarga masing-masing dan dikebumikan malam semalam serta pagi ini.

    

- Bernama

ADS