Wanita BN minta k'jaan kaji semula dasar ambil amah

Pergerakan Wanita BN menggesa kerajaan mengkaji semula dasar pengambilan pembantu rumah asing yang pada masa ini rumit dan kompleks sehingga memberi kesulitan kepada majikan, terutama wanita.
    
Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata sistem yang digunapakai sekarang hanya menguntungkan agensi pembantu rumah sebagai orang tengah dengan mengenakan bayaran atau caj yang tinggi sehingga membebankan majikan dan juga pembantu rumah.
    
"Sistem yang baru hendaklah memastikan kos dan bayaran pengambilan pembantu rumah asing ini diturunkan ke paras yang munasabah.

"Ini bagi mengelak pengambilan keuntungan berlebihan oleh agen-agen berkaitan dan sekaligus dapat mengurangkan beban bakal majikan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
    
Shahrizat berkata Wanita BN turut mengesyorkan, jika perlu, penubuhan satu unit atau agensi khas di bawah mana-mana kementerian untuk mempermudah sistem pengambilan dan pemantauan isu berkaitan pembantu rumah rakyat asing.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.