Masalah jalan, parit, sampah rumitkan penduduk

LAMBIR - Kampung Perpaduan off Jalan Taman Tunku adalah antara kampung yang terletak dalam kawasan Lusut Jaya di mana terdapat juga kampung seperti Kampung Bidayuh dan lain-lain.

Penduduk yang tinggal di Kampung Perpaduan kebanyakannya daripada kaum Bumiputera berbilang bangsa dan terdapat juga keluarga dari kaum Cina.

jalan kampung perpaduan sarawak"Masalah utama yang dihadapi penduduk Kampung Perpaduan adalah jalan raya yang becak terutama sekali musim hujan kerana jalannya berlopak dan berlumpur kerana tidak berbatu dan berturap," kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee.

Apabila musim hujan, air akan melimpah ke atas jalan disebabkan sistem perparitan yang tidak teratur untuk aliran air keluar, kata Jofri yang juga yang dipertua PAS Miri, dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, masalah tersebut amat merumitkan penduduk untuk keluar menjalankan urusan harian mereka kerana ia merupakan satu-satunya jalan keluar masuk di situ.

"Mereka memohon agar kerajaan mengggunakan peruntukan jalan kampung untuk menurap jalan dan juga memasang lampu jalan itu dengan segera untuk keselamatan penduduk.

"Selain masalah jalanraya, penduduk kampung juga memohon pihak berwajib agar dapat mengantikan paip air yang sedia ada kepada paip yang lebih besar supaya tekanan air cukup kuat lagi bagi menampung keperluan harian penduduk di situ, dan dijangka penduduk baru bermastautin akan meningkat pada masa akan datang dalam kawasan itu," tambahnya.

jalan kampung perpaduan 02Difahamkan batang paip air pecah disebabkan oleh kenderaan berat yang mengangkut barangan seperti bahan binaan perumahan dan sebagainya.  

"Batang paip air sedia ada mudah pecah disebabkan kenderaan berat melintasi batang paip air yang dibentang atau diletak diatas tepi jalan," tambahnya.

Sehubungan itu, katanya, penduduk kampung juga memohon Majlis Bandaraya Miri (MBM) menyediakan tong sampah yang lebih besar di setiap kawasan strategik bagi memudahkan penduduk kampung membuang sampah mereka.

"Tidak dinafikan oleh kerana kurangnya kemudahan asas seperti tong sampah besar dan lain-lainnya, maka mereka yang kurang bertanggungjawab mengambil jalan pintas dengan membuang sampah merata-rata tempat di tepi jalan.

"Kita mengesa agar pihak berkuasa tempatan segera mengatasi masalah ini daripada terus berlarutan yang boleh menyebabkan gangguan serta keselamatan penduduk di situ. Kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan amat kita hargai," tambahnya.

 
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.