Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Media baru pemangkin raih sokongan muda pada BN

Populariti media baru seperti Facebook dan Twitter serta ribuan blog berunsur politik yang pro-kerajaan mampu menjadi pemangkin usaha BN meraih sokongan muda pada pilihan raya umum ke-13.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata memandangkan golongan muda dilihat lebih mempercayai media baru berbanding konvensional, medium berkenaan diharap dapat membantu kerajaan menangkis tohmahan yang dilempar pembangkang.

"Saya berharap blogger yang selama ini menyokong kita di alam maya akan terus membuat penerangan mengenai sesuatu isu, sekali gus dapat membantu kerajaan memberi penerangan kepada masyarakat mengenai sesuatu perkara buruk yang cuba ditohmah oleh pembangkang.

"Ini penting kerana golongan muda lebih banyak mengikuti perkembangan politik tanah air melalui media baharu," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan bersama lebih 200 blogger di Kota Bharu.

Pada majlis tersebut, Mustapa yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri, merasmikan 'Kelab Tok Pa' di laman sosial Twitter sebagai wadah baru untuk mendekati dan mendengar masalah rakyat dengan lebih menyeluruh.

Mustapa berkata laman sosial, terutama Facebook banyak membantu beliau menjalankan tugas dengan lebih berkesan kerana dapat "mendengar" aduan secara terus daripada rakyat, sekaligus dapat menyelesaikan masalah secepat mungkin.

"Kalau tak ada laman sosial ini, saya tak tahu apa yang berlaku. Dengan adanya maklum balas secara terus daripada rakyat kita dapat membuat pembetulan terhadap beberapa masalah dan kekurangan kita.

"Kita yakin laman sosial dan media baru ini termasuk sistem pesanan khidmat ringkas (SMS) sebagai satu kaedah kreatif untuk memberi maklumat yang tepat dengan cara yang cepat kepada masyarakat," katanya.

Mustapa juga berkata pemilihan calon BN sedang disemak oleh pimpinan tertinggi parti untuk menentukan siapa yang layak dan menepati kriteria 'calon boleh menang'.

Katanya pimpinan tertinggi parti juga tidak lagi melihat kepada anggota yang berjawatan dalam parti, tetapi memilih calon berdasarkan siapa yang disukai rakyat bagi memastikan BN terus meneraju negara dan merampas semula Kelantan.

-Bernama

ADS