Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dua lans koperal didakwa terima rasuah RM25,000

Dua anggota polis berpangkat Lans Koperal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM25,000 pada 2010.

    

Mohd Rizal Mohd Anuar, 38, dan Mohd Azhar Ibrahim, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibaca di depan Majistret Noradila Ab Latif.

    

Noradila membenarkan mereka diikat jamin masing-masing sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi keempat-empat pertuduhan dan menetapkan 16 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa menerima wang tunai RM5,000 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Azizul Kasim kerana memiliki rokok bebas cukai di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Haji Wan Latif, Jerteh, Besut pukul 2.15 petang pada pertengahan bulan Ramadan 2010.

    

Mengikut pertuduhan kedua, Mohd Rizal dan Mohd Azhar didakwa menerima wang tunai RM5,000 daripada Azizul bagi tujuan yang sama pukul 4.30 petang di lokasi sama pada minggu kedua Hari Raya Puasa 2010.

    

Pertuduhan ketiga pula mendakwa kedua-dua anggota polis itu menerima wang tunai RM5,000 daripada Azizul bagi tujuan yang sama di lokasi sama pada kira-kira 3.10 petang, 20 Dis 2010.

    

Kedua-dua tertuduh juga didakwa menerima wang tunai RM10,000 daripada Azizul bagi tujuan yang sama, di lokasi sama kira-kira 2.30 petang pada 15 Januari 2011.

    

Mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta SPRM.

    

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan mengikut mana lebih tinggi.

    

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh manakala Mohd Rizal dan Mohd Azhar tidak diwakili peguam.

- Bernama

ADS