Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh perlu memohon maaf, bukan sahaja kepada penduduk Kuantan, malah kepada negara, berhubung isu projek nadir bumi Lynas Advanced Material Plant (LAMP) di kawasan perindustrian Gebeng di Pahang, desak beberapa NGO di negeri itu.

Beberapa ahli politik dan penganalisis berpendapat projek nadir bumi itu bukan lagi isu selepas Mahkamah Tinggi Kuantan pada 8 Nov lepas menolak permohonan injunksi interim ke atas Lesen Operasi Sementara (TOL) oleh tiga penduduk Kuantan.

NONE Menurut mereka, walaupun kerajaan beberapa kali menjelaskan pembinaan pusat pemprosesan nadir bumi di Gebeng adalah selamat daripada ancaman radiasi sebelum ini, namun ia masih dimanipulasi pihak berkepentingan politik.

Pengerusi MCA Kuantan Datuk Ti Lian Ker berkata Fuziah dari Parti Keadilan Rakyat, sebenarnya tidak pernah melakukan apa-apa pun kepada penduduk Kuantan.

"Sebaliknya kejayaan beliau hanya membuat penduduk tempatan menjadi keliru dengan isu Lynas menerusi fakta yang salah, isu itu dimanupulasi demi kepentingan politiknya," katanya kepada Bernama.

Ti berkata penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Mengenai Projek LAMP telah diusul di Dewan Rakyat pada 20 Mac 2012 di bawah Peraturan 81(1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Terma rujukan jawatankuasa itu adalah untuk meneliti isu-isu keselamatan, kesihatan dan alam sekitar berhubung projek LAMP; dan meneliti proses serta pelaksanaan prosedur pelesenan dan kelulusan berdasarkan peruntukan undang-undang serta standard keselamatan yang berkuat kuasa.

Ironinya, Ti berkata Fuziah tidak menggunakan pentas itu untuk berdebat mengenai isu berkenaan sebaliknya hanya kuat berkokok di luar parlimen.

Laporan akhir dan syor PSC Lynas dikemukakan di Parlimen pada 18 Jun sebelum dibentangkan pada 19 Jun lepas.

"Dia (Fuziah) sudah diberi peluang berdebat dan berbincang di Parlimen, namun beliau memilih untuk tidak melibatkan diri, malah dia lebih rela pergi ke London, kononnya untuk lawatan sambil belajar ketika usul itu dibahaskan.

"Beliau dilihat seperti menganiaya penduduk Kuantan daripada melaksanakan tugasnya, mana yang lebih penting? Lawatan sambil belajar di London atau bersama-sama duduk berbincang dalam pembentangan dan perbahasan berkaitan isu Lynas itu?" soal beliau.

Ti berkata pihak pembangkang yang mengungguli isu ini juga sebenarnya telah menerima tamparan apabila anggota Parlimen Hulu Langat Dr Che Rosli Che Mat dari PAS, yang pakar dalam bidang nuklear, membuat kenyataan bahawa beliau telah lama bersabar dengan manipulasi yang dilakukan pembangkang dalam hal kilang Lynas itu.

Anggota Parlimen Hulu Langat itu menegaskan bahawa tahap radiasi projek LAMP itu berada pada paras rendah berbanding yang dibenarkan.

Berikutan tindakan Fuziah yang dilihat berterusan membuat kenyataan negatif berkenaan LAMP, beberapa pergerakan politik dan badan bukan kerajaan (NGO) di Kuantan telah membuat laporan polis.

Beberapa NGO di Pahang mendesak Fuziah supaya memohon maaf kepada LAMP berhubung dakwaan kesilapan daripada pembohongan dan penyelewengan fakta tanpa asas saintifik mengenai kilang memproses nadir bumi itu.

Mereka mahu Fuziah dan kumpulan anti-Lynas mencontohi portal berita Free Malaysia Today yang memohon maaf secara terbuka berhubung isu itu pada Julai lepas.

Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kuantan, Ezad Zainal berkata Fuziah perlu memohon maaf kepada Lynas dan seluruh rakyat Kuantan.

"Anggota Parlimen Kuantan itu telah mengetepikan kajian dan pendapat daripada pakar bertauliah yang mengesahkan keselamatan kilang memproses nadir bumi yang terletak di Gebeng.

"Tiada sebarang asas yang kukuh atas kenyataan-kenyataan Fuziah terhadap Lynas melainkan beliau hanya mencari sokongan politik dan bukan untuk kepentingan rakyat," katanya.

Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Pahang Mendukung Agenda Nasional (DAUN) turut mendesak Fuziah dan kumpulan anti-Lynas memohon maaf berhubung isu itu.

Penyelaras DAUN Wan Emril Nizam Wan Embong berkata pihaknya mendesak Fuziah dan kumpulan anti-Lynas memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan penduduk Kuantan khasnya kerana dakwaan mereka sebelum ini turut tidak disokong dengan fakta saintifik.

Pengerusi Majlis Belia Kuantan Md Jamil Pauzi berkata, selain LAMP, Fuziah dan kumpulan anti-Lynas perlu memohon maaf kepada kerajaan negeri Pahang serta golongan belia dan rakyat Malaysia juga.

Setiausaha Kehormat Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Pahang, Asmayudin Uyub berkata Fuziah seharusnya mengakui kesilapannya mempersoal projek Lynas tanpa asas saintifik.

"Beliau merupakan wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat dan sebagai pemimpin, jika melakukan kesalahan, beliau seharusnya mengakui kesilapan dan segera membuat permohonan maaf," katanya.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Kuantan Datuk Suffian Awang berkata para pengundi di kawasan parlimen Kuantan perlu bijak dalam menilai keupayaan sebenar Fuziah sebagai wakil rakyat.

"Sudah hampir sepenggal, apa yang dilakukan oleh Fuziah? Masalah penduduk setempat, hal-hal berkaitan penduduk, kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang mengatasinya, Fuziah pula sibuk berkempen dengan isu Lynas," katanya.

Beliau berkata apa yang dikesalkan, pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) yang bertungkus lumus mengatasi masalah setempat, Fuziah pula dilihat seperti menangguk di air yang keroh.

"Saya melihat banyak isu yang dibangkitkan beliau selaku wakil rakyat di Kuantan, sedangkan isu-isu itu sedang dan telah ditangani MPK. Apabila pihak MPK menanganinya, beliau mendakwa itulah hasil daripada aduan atau perkara yang dibangkitkannya," katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Perhubungan Awam MPK, Haslinda Hassan berkata bagi tempoh Januari hingga November lepas, sebanyak 4,123 aduan diterima berkaitan masalah penduduk di Kuantan seperti masalah kerosakan harta awam, masalah jalan raya, longkang, isu setempat dan sebagainya.

"Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 80 peratus aduan berjaya diatasi, 20 peratus lagi dalam proses siasatan dan tindakan, terutama membabitkan aduan yang memerlukan kos dan peruntukan tertentu," katanya.

-Bernama

ADS