Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kementerian Pelajaran menunggu laporan siasatan polis sebelum mengeluarkan arahan kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan bagi mengambil tindakan berhubung isu melibatkan anak Orang Asli Gua Musang yang mendakwa ditampar oleh guru SK Bihai.

NONE Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, kementerian akan mengeluarkan surat arahan tetapi bergantung kepada laporan siasatan polis.

"Saya difahamkan ia sudah jadi kes polis. Jadi dalam perkara yang libatkan kes polis, kita serah pada polis untuk siasat dan kita bergantung kepada hasil laporan tersebut untuk ambil tindakan.

"Saya pasti, pihak kementerian juga menubuhkan jawatankuasa untuk menyiasat, cuma melibatkan kes polis kita akan tunggu laporan polis terlebih dahulu," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Fiqh Kontemporari di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di Gombak hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan JPN Kelantan masih menunggu surat arahan daripada kementerian berhubung tindakan yang perlu diambil bagi isu tiga anak anak Orang Asli yang didakwa ditampar kerana tidak membaca doa makan.

NONE Pengarahnya Hussain Awang bagaimanapun berkata surat tersebut mungkin dalam perjalanan dan memberitahu telah menghantar laporan siasatan pihaknya mengenai insiden itu kepada kementerian, tiga minggu lalu.

Puad yang juga ahli parlimen Batu Pahat turut menasihatkan para guru agar tidak melakukan sebarang tindakan mengikut emosi dan menyelesaikan isu tersebut "secara muafakat".

"Mereka (guru) perlu bertindak mengikut pekeliling kementerian. Kita tidak boleh mengikut emosi dan bertindak menggunakan cara yang fizikal yang boleh cederakan murid. Kita ada prosedur bahkan nak merotan pun kita ada prosedur. Kita takkan kompromi, kalau betul perkara ini berlaku.

"Saya nak ambil kesempatan, kalau boleh, diselesai secara muafakat dalam isu disiplin ini. Sebab guru ini dia banyak bebanan. Tugas guru kadang-kadang tension. Dia banyak tekanan. Kadang-kadang dah macam itu dia ikut emosi. Dia tempeleng.

"Kementerian yang jadi bahan serangan sebab kementerian pelajaran ni banyak isu. Pelbagai isu sebenarnya... Saya nak nasihatkan guru jangan ikut emosi," katanya.

ADS