Kes saman pukul RM10 juta bekas siswa UTM selesai

Kes saman RM10 juta yang difailkan bekas pelajar lelaki Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Cawangan Melaka, selesai, selepas 11 pelajar senior yang didakwa memukulnya membuat permohonan maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Permohonan maaf itu dibacakan di hadapan Hakim Datuk Nor Bee Ariffin oleh Haiqal Syukri Jantan, 22, yang mewakili kesebelas bekas pelajar lelaki UTM itu.

Selepas permohonan maaf itu dibacakan, peguam Muhd Azmi Talib yang mewakili plaintif Ahmad Zulhelmi Md Suhaimi, 21, memohon supaya kesemua defendan dan plaintif bersalaman antara satu sama lain.

Terdahulu Muhd Azmi memberitahu mahkamah bahawa kes saman itu berjaya diselesaikan antara kedua-dua pihak dan memohon mahkamah merekodkan penghakiman persetujuan.

Ketika ditemui media selepas kes itu, Ahmad Zulhelmi yang kini bekerja di sebuah bank berkata dia berasa lega kerana kes itu telah selesai dan beliau juga tidak ada menyimpan perasaan dendam terhadap defendan.

Pada 30 Mac lepas, Ahmad Zulhelmi memfail saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menuntut ganti rugi am bagi tort konspirasi dan niat jahat untuk mencederakannya berjumlah RM10 juta, ganti rugi teruk, teladan, faedah dan juga kos.

Beliau menamakan Mohd Firdaus Arizan, 24, Nohd Azmir Ariff Shayuti, 23, Ahmad Faidhi Othman Gumanti, 25, Haiqal Syukri, Muhammad Muzakir Othman, 22, Ahmad Idris Baharom, 23, Muhammad Hasif Daud, 22, Ahmad Firdaus Husni Ahmad Razali, 22, Mohd Farhan Md Mukhtar, 24, Mohd Fikry Lokman, 22, dan Muhammad Amirul Haron, 22, sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Ahmad Zulhelmi berkata pada 18 Julai 2010, jam 10.30 malam, beliau dipanggil oleh kesebelas pelajar senior itu dan mereka telah membuat soal siasat ke atasnya di sebuah bilik.

Ahmad Zulhelmi, yang ketika itu pelajar diploma Sains Kuantitatif mendakwa kesemua defendan telah bertindak memukulnya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal yang serius ketika soal siasat itu dijalankan.

Beliau berkata soal siasat itu berterusan sehingga 7 pagi keesokan harinya pada 19 Julai, 2010, di bilik lain, dan dia telah dipukul, ditampar, ditumbuk dan ditendang di semua bahagian badannya sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Alor Gajah, Melaka dan di Hospital Besar Melaka dan ditahan di wad selama 3 hari.

Ahmad Zulhelmi berkata seterusnya beliau mendapatkan rawatan susulan di Hospital Pakar Pantai, Ampang dan Hopsital Pakar Al Islam, Kampung Baru, di ibu negara dan telah menjalani pembedahan pada 11 Oktober, tahun sama.

-Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.