'Utusan tak perlu tarik tulisan Zam'

Akhbar Utusan Malaysia versi dalam talian tidak perlu menarik balik rencana tulisan bekas ketua pengarangnya, Tan Sri Zainuddin Maidin tentang mantan Presiden Indonesia, BJ Habibie, kata bekas ketua pengarang Bernama, Datuk Seri Azman Ujang.

Menurutnya, orang ramai perlu membaca rencana itu bagi mengetahui perkara sebenar yang ditulis oleh Zainuddin Maidin atau dikenali sebagai Zam.

NONE"Saya pun hairan kenapa artikel asalnya ditarik, dipadamkan, sepatutnya tidak," kata Azman di forum 'Utusan: Kewartawanan Dahulu dan Kini' di Dewan Bahasa dan Pustaka pagi tadi.

"Orang ramai nak baca, setelah SBY (Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono) merungut, apa sebenarnya yang Zam tulis?" kata Azman sewaktu ditanya tentang sikap yang perlu diambil Utusan dalam kontroversi berkenaan.

Tulisan Zainudin bertajuk 'Persamaan BJ Habibie dengan Anwar Ibrahim' diterbitkan Utusan pada 10 Disember lalu di mana beliau menyifatkan Habibie dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai "anjing imperialisme"

Susilo semalam menyifatkan tulisan itu sebagai tidak wajar, tidak beretika, dan menjejaskan hubungan baik dua negara.

Menurut Azman, beliau percaya Susilo memberi reaksi begitu kerana latarbelakang Indonesia yang mempunyai semangat kebangsaan yang kuat.

NONEBeliau juga percaya Susilo tidak senang apabila Habibie disamakan dengan Anwar.
 
"SBY menyifatkan satu penghinaan kepada bekas presiden Indonesia kerana dia diletakkan satu bakul dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Pandangan Azman disokong seorang lagi ahli forum, Profesor Ahmad Murad Merican.

"Artikel itu tidak salah walau apa-apa senario politik (sekali pun). Itu hak penulis dan juga tidak semestinya mewakili Utusan," katanya bercakap di forum yang sama.

Bagaimana pun, beliau menasihatkan agar penyiaran tulisan itu perlu mengambil kira hubungan baik Malaysia dan Indonesia yang perlu dipelihara.

"Jadi dalam konteks ini dari segi etikanya penyiaran artikel itu mungkin editor perlu berhati-hati bagaimana artikel itu disiarkan, di mana ia disiarkan juga penting, headline (tajuknya), itu pun penting dan ada impak kepada pembaca.

"Perkara ini boleh kita perbaiki dalam konteks menjalin perhubungan antara negara kita dan negara luar," katanya.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.