Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB umum ahli JK bebas teliti projek kondo Batu Caves

Lima profesional dilantik menganggotai jawatankuasa bebas untuk meniliti kelulusan projek pembinaan kondominium di Batu Caves, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Khalid, lima anggota tersebut akan mengkaji isu tersebut secara bebas dan profesional serta akan memberi nasihat kepada kerajaan negeri bagi menangani isu kondominium itu.

"Jawatankuasa ini akan mendengar dan mengkaji apa yang telah dibuat oleh perancangan negeri.

"(Mereka akan bertugas) secepat yang mungkin," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat exco di Shah Alam hari ini.

Lima profesional yang dilantik ialah Orang Besar Daerah Klang Datuk Abdul Ghani Patek Akhir, Pakar Bedah Neuro, Dr M Nachiappan, bekas pesuruhjaya kehakiman Datuk Ranita Hussein, Pakar Undang-undang Pembinaan Harbans Singh, dan Ahli Geologi Tan Boon Kong.

Sebelum ini, terdapat kontroversi bantahan daripada kaum India meminta agar kondominium Park Avenue di kawasan Batu Caves dihentikan.

Ekoran itu, Abdul Khalid mengarahkan supaya kerja pembinaan itu dihentikan dan menubuhkan petugas bebas bagi menyiasat isu tersebut.

Manakala Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pula berjanji akan membatalkan projek itu sekiranya BN berjaya merampas Selangor.

Sementara itu, ditanya berhubung perkembangan Laporan Projek Pendemokrasian Negeri Selangor , Khalid berkata, ketika ini pihaknya sudah menyediakan beberapa maklumat dan perlu menyemak semula nama-nama yang dirasakan perlu.

Beliau yang juga ahli parlimen Bandar Tun Razak juga berkata kerajaan negeri akan mengadakan perjumpaan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka awal Januari depan berhubung laporan tersebut.

"Kita sudah menyediakan beberapa maklumat yang akan kita berikan. Saya rasa, oleh kerana keadaan sekarang, kita buat kajian di lapangan, kita menyemak lagi semula nama-nama yang kita rasa perlu disemak semula.

"Jadi saya rasa dalam keadaan ini, perjumpaan kita boleh berlaku awal bulan Januari," katanya lagi. 

ADS