Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rumah mampu milik di S'gor, jabatan, agensi sedia disiasat
Diterbitkan:  Dec 20, 2012 9:32 AM
Dikemaskini: 1:59 AM

Dalam usaha untuk menambah bekalan rumah mampu milik, kerajaan Selangor telah membenarkan pemaju membuat permohonan untuk membina rumah tersebut bagi menggantikan rumah kos rendah yang mereka perlu bina, kata Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad.

Bagaimanapun, katanya, terdapat pihak yang mendakwa telah berlaku penyelewengan di dalam proses meluluskan permohonan tersebut.

Sehubungan itu, katanya, selari dengan dasar keterbukaan dan ketelusan kerajaan negeri, beliau tidak mempunyai sebarang halangan jika Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) atau mana-mana jabatan dan agensi itu diaudit atau disiasat.

"Saya juga ingin menegaskan di sini bahawa keputusan sama ada untuk meluluskan atau menolak dibuat oleh mesyuarat Exco secara bersama. Ianya bukan keputusan Exco perumahan," tambahnya.

Iskandar menjelaskan bahawa permohonan untuk membina rumah mampu milik itu hanya boleh diluluskan jika permintaan untuk rumah kos rendah di sesuatu kawasan itu terlalu rendah.

"Permohonan juga boleh diluluskan jika terdapat masih banyak rumah kos rendah yang masih tidak terjual di kawasan tersebut," katanya dalam satu kenyataan semalam, sambil menambah bentuk pembangunan, kemudahan awam dan infrastruktur di sekitar kawasan itu juga diambilkira," katanya.

Oleh yang demikian, Iskandar menerangkan prosedur untuk meluluskan sesuatu permohonan.

Menurutnya, setiap permohonan akan disiasat oleh jabatan dan agensi berikut yang akan mengemukakan ulasan-ulasan teknikal kepada mesyuarat Exco, iaitu:

  • Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Negeri Selangor (JPBD);
  • Pihak Berkuasa Tempatan terlibat (PBT);
  • Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS).
Berdasarkan ulasan teknikal itu, katanya, pengarah Tanah Dan Galian Selangor (PTGS) akan mengemukakan cadangan kepada mesyuarat Exco sama ada untuk menolak atau meluluskan sesuatu permohonan.

"Memandangkan ia melibatkan banyak pihak, amatlah payah bagi pemaju untuk cuba mempengaruhi kesemua pihak yang terlibat.

"Walaupun jika pemaju dapat mempengaruhi LPHS, badan yang terlibat secara langsung menguatkuasakan dasar perumahan negeri, namun ia masih memerlukan kelulusan mesyuarat Exco," tegas Iskandar.

Di samping itu, katanya, terdapat juga pihak yang mendakwa ciri-ciri rumah mampu milik itu adalah tidak jelas.

Oleh itu, Iskandar menjelaskan ciri-ciri rumah mampu milik Selangor, seperti berikut:

  • Anggaran jualan di antara RM85,000 hingga RM120,000;
  • Keluasan rumah di antara 850 hingga 1,000 kaki persegi;
  • Rekabentuk yang terkini seperti konsep 'green building';
  • Mengambilkira aspek kemampuan dari segi binaan, persekitaran dan komuniti;
  • Penyediaan kemudahan asas dan awam yang mencukupi seperti kawasan riadah, berinteraksi dan sebagainya termasuk untuk warga emas dan OKU;
  • Kos penyelenggaraan yang murah;
  • Perolehan keuntungan pemaju tidak melebihi 10 peratus.
"Kerajaan negeri sentiasa akan memastikan bahawa rumah mampu milik yang dibina, mampu dibeli oleh golongan sasaran yang ditetapkan iaitu mereka yang berpendapatan di antara RM2,500 dan RM5,000 sebulan.

"Permohonan untuk membina rumah mampu milik pula sentiasa diproses dengan adil," tambahnya.

ADS