Shafie sokong cadangan SPRM tapis calon PRU

Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan cadangan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menapis terlebih dahulu senarai calon pilihan raya umum ke-13 sebagai langkah wajar.
    
Langkah itu katanya dapat mengelak masalah lebih besar dan menyusahkan rakyat jika calon tersebut bermasalah dan terbabit rasuah selepas pilihan raya berlangsung.
    
"Saya sokong penuh perkara ini kerana ia untuk kebaikan. Ini penting kerana kita tidak mahu nantu calon itu bermasalah dan terpaksa buat pilihan raya kecil pula selepas itu yang membabitkan perbelanjaan lain dan merumitkan rakyat," katanya kepada pemberita selepas melawat Projek Penempatan Semula Nelayan Tok Bali, di Pasir Puteh hari ini.
    
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM Datuk Johan Jaafar yang dilapor media mencadangkan agar kerajaan mewajibkan parti politik mengemukakan senarai calon mereka kepada SPRM terlebih dahulu.
    
Mengulas lanjut, Mohd Shafie yang juga menteri kemajuan wilayah dan luar bandar, berkata perkara itu diamalkan BN selama ini bagi memastikan tidak ada masalah timbul apabila tiba hari penamaan calon.
    
Namun katanya adalah lebih baik jika parti dan calon yang bakal bertanding berbuat demikian secara sukarela.
    
Mengulas perkara berbeza, Mohd Shafie berkata kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa menentang Umno adalah untuk mencegah kemungkaran merupaka ketaksuban politik yang membawa kehancuran.
    
Sehubungan itu beliau menggesa rakyat, terutama umat Islam menimbang sebaik-baiknya kenyataan Menteri Besar Kelantan berkenaan.
    
Semalam Nik Abdul Aziz berkata beliau akan tetap bertanding dalam pilihan raya umum akan datang selagi bangsa Melayu masih menyokong Umno yang disifatkannya sebagai satu perbuatan mungkar.

Mengulas projek penempatan semula nelayan Tok Bali itu, Mohd Shafie berkata ia satu lagi bukti kerajaan pusat sama sekali tidak mengabaikan Kelantan walaupun tidak diperintah BN.
    
"Kerajaan BN sangat menjaga kepentingan rakyat. Yang mana layak dapat pembelaan kita akan bela," katanya.
    
Projek bernilai RM30.88 juta itu dibangunkan di atas tanah seluas lebih 38 hektar merangkumi pembinaan 300 unit kediaman, surau, tadika serta dewan serbaguna. Pembinaan fasa pertama akan bermula pertengahan Januari ini.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.