Mahfuz: Gantung kes saman AES permainan politik p'raya?

Pengerusi Jawatankuasa Anti Saman Ekor (KASE) Datuk Mahfuz Omar mendesak pihak kerajaan untuk menyatakan pendirian berhubung prosiding saman operasi kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang ditangguhkan oleh Pejabat Peguam Negara (AG).

Selain itu Mahfuz juga meminta AG menyatakan sebab terperinci berhubung arahan penggantungan prosiding tersebut.

"AG perlu spesifikkan apa yang menjadi sebab penangguhan prosiding yang dilakukan. Kerana untuk apa prosiding ditangguh tetapi saman tetap dikeluarkan?

"Kita juga mencabar kerajaan, bukan AG, supaya ambil tanggungjawab menyatakan pendirian jelas tentang perkara ini. Kerajaan tidak pernah lagi mengeluarkan kenyataan. Jangan gunakan AG," kata Mahfuz dalam satu sidang media di ibu pejabat PAS di ibu negara hari ini.

Selasa lalu, AG mengarahkan supaya semua prosiding kes saman melalui AES digantung.

Dalam satu kenyataan, ia bagaimanapun menegaskan bahawa saman melalui AES yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah sah.

Mahfuz juga mendakwa, pihak kerajaan menggunakan AG bagi meredakan kemarahan rakyat.

"Saya minta kerajaan buatlah keputusan jelas untuk penuhi permintaan semua pihak bagi menangguhkan operasi ini," katanya lagi.

 

 
 
 
 
 
 
 

 

 

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.