Karpal minta Tunku Aziz tarik balik kenyataan terhadapnya

Pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh hari ini menggesa bekas naib pengerusi parti itu, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim supaya menarik balik secara terbuka kenyataannya dalam artikel yang disiarkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam.

Beliau mendakwa dalam artikel itu,  Tunku Aziz menyebut bahawa beliau (Karpal Singh) mengeluarkan apa yang boleh dianggap sebagai perintah yang menghalang anggota DAP daripada menerima darjah kebesaran negeri daripada Raja-raja Melayu.
    
"Kenyataan Tunku Aziz itu sememangnya separuh benar dan dilakukan semata-mata dengan tujuan dan matlamat untuk memburukkan saya pada pandangan orang Melayu di negara ini," katanya pada sidang akhbar hari ini.
    
Karpal Singh berkata beliau tidak pernah mengungkapkan perkataan Raja-raja Melayu, sebaliknya hanya menyatakan bahawa anggota DAP, iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri dan Parlimen, tidak wajar menerima anugerah yang membawa gelaran 'Datuk' dalam tempoh memegang jawatan bagi memastikan ketelusan.
    
Dalam perkara berasingan, Karpal Singh berkata kematian bekas presiden Gerakan dan bekas Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Tun Dr Lim Keng Yaik adalah kehilangan besar kepada landskap politik tanah air.
    
Menyifatkan mendiang Dr Lim sebagai seorang yang sentiasa riang, Karpal Singh berkata Dr Lim adalah pemimpin yang hebat dan tidak pernah bermasalah dengan beliau sungguhpun mereka berlainan parti.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.