Paras air 5 sungai utama di T'ganu lebihi paras bahaya

Paras air di lima sungai utama di Terengganu melebihi paras bahaya tengah hari ini berikutan hujan lebat sejak malam tadi.
    
Jurucakap Majlis Keselamatan Negeri (MKN) ketika dihubungi berkata sehingga pukul 11 pagi ini, sungai Setiu, di Kampung Langkap, mencatat bacaan 21.51 meter melebihi paras bahaya 21.50m manakala paras air Sungai Besut di Kampung La mencatat 20.3 meter mengatasi paras bahaya 19.2 meter.
    
Paras air di Sungai Dungun, Pasir Raja, pula mencatat bacaan 37.5m melepasi paras bahaya 30.5m.

Sementara itu, menurut portal Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), tujuh tujuh pusat pemindahan dibuka melibatkan tiga daerah iaitu Setiu, Marang dan Dungun, diikuti hanya satu pusat dibuka di Johor iaitu di Batu Pahat, manakala di Selangor, tiga pusat pemindahan dibuka di Kuala Selangor dan Klang.

Sementara itu, Kelantan mula dilanda banjir hari ini setelah hujan lebat beberapa hari lalu menyebabkan Sungai Golok merentasi daerah

Tanah Merah dan Rantau Panjang melimpah dan berlaku banjir di kawasan sekitar menyebabkan 18 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.
   
Menurut Portal MKN, dengan Kelantan merupakan negeri terbaru dilanda banjir, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan kini adalah seramai 430 orang di seluruh negara.
   
Negeri lain yang sedang dilanda banjir ialah Terengganu yang mencatat jumlah perpindahan seramai 305 orang, Selangor (91 orang) dan Johor (16 orang).
   
Di Kelantan, kesemua mangsa terdiri daripada empat keluarga di Kampung Tasek, Bukit Awang, Pasir Puteh yang telah dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Bukit Awang sejak pukul 12 tengah malam tadi setelah rumah mereka digenangi air sedalam hampir satu meter.
   
Manakala Sungai Golok di daerah Tanah Merah dan Rantau Panjang juga melebihi paras bahaya.
   
Jabatan Meterologi Malaysia meramalkan hujan sekejap-sekejap kadang kala  sederhana dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga Sabtu ini.
   
Daerah yang dijangka terlibat ialah Tumpat, Pasir Mas, Machang, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh di Kelanta manakala di Terengganu meliputi Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.
   
Dalam pada itu, hujan sekejap-sekejap kadang kala sederhana di Pahang dan Johor hari ini dijangka berterusan sehingga Rabu.
   
Kawasan tersebut ialah Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang serta Mersing dan Kota Tinggi di Johor.

 

 

 

 

 

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.