Amaran hujan lebat di K'tan, T'ganu dan Pahang

Penduduk di beberapa daerah di Kelantan, Terengganu dan Pahang dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga ekoran amaran hujan lebat peringkat jingga yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) hari ini.    

Menurut JMM hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat di beberapa jajahan di Kelantan seperti, Tumpat, Pasir Mas, Machang, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh erta di beberapa daerah di Terengganu seperti Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman, dijangka berterusan sehingga esok.
    
Keadaan itu akan menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah, kata JMM dalam kenyataan.
    
Hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat di Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang juga dijangka berterusan sehingga Rabu ini dan keadaan itu akan menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah.
    
Dalam pada itu, JMM turut mengeluarkan nasihat hujan lebat peringkat kuning di beberapa kawasan di Pahang seperti daerah Jerantut, Maran dan Bera serta beberapa daerah di Johor seperti Mersing dan Kota Tinggi yang dijangka akan mengalami hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana sehingga Rabu ini.
    
Keadaan itu juga boleh menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah, menurut kenyataan itu.
    
Portal JMM pula menyatakan beberapa kawasan di Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Putrajaya, Selangor dan Wilayah Persekutuan dijangka mengalami ribut petir pada sebelah petang manakala hujan sementara dijangka berlaku di Kudat dan Tawau, Sabah.
    
Amaran peringkat kuning ialah kemungkinan berlaku luruan monsun dalam tempoh 24-48 jam, amaran peringkat jingga ialah hujan monsun sederhana yang berlaku untuk beberapa jam dan amaran peringkat merah pula ialah hujan monsun yang lebat dan meluas berlaku atau dijangka berlaku dalam beberapa jam.

- Bernama
    

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.