Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BN yakin rampas 20 kerusi pembangkang
Diterbitkan:  Dec 24, 2012 6:23 PM
Dikemaskini: 10:45 AM

Barisan Nasional (BN) mampu merampas 20 kerusi Parlimen yang dimenangi pembangkang, sekaligus meraih kemenangan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum ke-13.

    

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata beliau yakin BN dapat mempertahankan 140 kerusi Parlimen yang dimenangi sekarang serta merampas lima daripada 23 kerusi PAS, lima daripada 29 kerusi DAP dan 10 daripada 31 kerusi PKR.

    

Beliau berkata keyakinan tersebut berdasarkan pelbagai faktor termasuk masalah yang dihadapi pembangkang di beberapa kawasan yang dimenangi mereka sebelum ini.

    

"Semua perkara ini logik kerana sebagai contoh, tujuh kerusi PKR sudah bermasalah di mana enam daripadanya telah cabut masuk bebas sementara satu lagi kalah di Hulu Selangor," katanya kepada pemberita selepas Program Pemukiman Pemantapan Profesionalisme Kelab Kebajikan dan Rekreasi Penerangan (KKRP) yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam di Melaka.

    

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga bakal menjadi faktor utama kemenangan BN.

    

"Rakyat telah menikmati pelbagai insentif dan keistimewaan yang

 diperkenalkan Perdana Menteri termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Baucar Buku 1Malaysia serta program transformasi," katanya.

    

Selain itu, beliau berkata faktor calon boleh menang yang dimiliki BN akan turut membantu merampas kembali kerusi pembangkang.

Bagaimanapun, katanya kemenangan tersebut hanya akan dicapai sekiranya anggota BN tidak melakukan sabotaj atau 'cah keting' terhadap parti.

    

- Bernama

ADS